SINGAPURA: Lebih S$7.1 juta (RM22.29 juta) penalti dikenakan terhadap 23,742 pengembara yang didapati mengelak daripada membayar duti dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di pusat pemeriksaan udara, darat dan laut dalam 10 bulan pertama 2025, menurut Kastam Singapura pada Isnin.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding tempoh sama pada 2024 dan 2023, apabila masing-masing 13,099 dan 7,139 pengembara ditangkap dan dikenakan denda berjumlah S$3.47 juta (RM11.05 juta) dan S$2.3 juta (RM7.32 juta).
Menjawab pertanyaan CNA mengenai peningkatan tersebut, Kastam Singapura berkata, dari tahun ke tahun, terdapat peningkatan dalam jumlah pengembara serta pemeriksaan yang dipertingkatkan di semua pusat pemeriksaan.
Jumlah pesalah yang dikenakan denda maksimum S$5,000 (RM15,928) kerana membuat pengisytiharan tidak betul atau tidak lengkap kepada Kastam turut melonjak kepada 142 orang dalam 10 bulan pertama tahun ini, berbanding 46 dan 51 dalam tempoh sama pada 2024 dan 2023.
Mengelak membayar duti atau GST di pusat pemeriksaan adalah satu kesalahan serius, tegas Kastam, sambil menambah bahawa hasil cukai tersebut adalah milik Singapura dan menyokong persaingan adil bagi syarikat tempatan yang mematuhi kewajipan cukai.
“Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap semua pesalah, termasuk mengenakan penalti paling berat ke atas mereka yang sengaja melanggar undang-undang kami,” katanya.
Kastam berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya, kesalahan lazim melibatkan barangan komersial seperti alat gantian mesin, pakaian dan aksesori, produk pengguna seperti barangan penjagaan kulit, serta rokok dan alkohol.
Dalam satu kes, seorang pengembara wanita yang tiba dari Bangkok pada 17 Oktober dikenakan denda maksimum S$5,000 (RM15,928) kerana gagal mengisytiharkan barangan mewah baharu termasuk sebuah beg, dompet dan tiga barang kemas.
Dalam kes lain, seorang pengembara lelaki ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 9 Oktober kerana gagal mengisytiharkan 11 bungkus kemeja-T yang dihantarnya kepada syarikat-syarikat di Singapura, dan dikenakan denda S$2,990 (RM9,525).
Secara berasingan, seorang lagi pengembara lelaki didenda S$1,130 (RM3,599) selepas ditahan di Pusat Kapal Persiaran Singapura pada 31 Julai kerana membawa 544 umpan memancing pelbagai jenis untuk tujuan komersial.
“Semua barangan yang dibawa masuk ke Singapura oleh pengembara, termasuk pelawat asing dan penduduk tempatan, tertakluk kepada GST tanpa mengira sebarang cukai jualan atau nilai tambah yang telah dibayar di luar negara,” kata Kastam. -AGENSI










