Siapa tidak setuju dengan saya, tidak akan jadi Pengerusi Rizab Persekutuan – Trump - Utusan Malaysia

Siapa tidak setuju dengan saya, tidak akan jadi Pengerusi Rizab Persekutuan – Trump

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan Pengerusi baharu Rizab Persekutuan (Fed) mesti memastikan kadar faedah kekal rendah dan tidak ‘berbeza pendapat’ dengannya.

Kenyataan itu dibuat pada Selasa ketika proses temu duga sedang berlangsung bagi menggantikan Jerome Powell yang bakal meninggalkan jawatan. Powell sebelum ini tidak sehaluan dengan Trump berhubung pemotongan kadar faedah.

“Saya mahu Pengerusi Fed yang baharu menurunkan kadar faedah jika pasaran berjalan baik, bukan merosakkannya tanpa sebab.

“Amerika Syarikat sepatutnya diberi ganjaran atas KEJAYAAN, bukan dijatuhkan kerana itu. Sesiapa yang tidak setuju dengan saya tidak akan menjadi Pengerusi Fed!,” tulisnya dalam Truth Social.

Sejak kembali ke Rumah Putih pada Februari, Trump kerap mendesak Fed – Bank Pusat AS – supaya menurunkan kadar faedah bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

Beliau juga pernah mengugut untuk memecat Jerome Powell kerana enggan mengikut arahannya, malah menggelarnya dengan kata-kata yang kurang enak dan “kalah besar” secara terbuka.

Kenyataan Trump mengenai pengganti Powell menimbulkan kebimbangan terhadap kebebasan Fed daripada campur tangan politik – satu amalan lama di AS.

Fed telah menurunkan kadar faedah penanda aras sebanyak tiga kali tahun ini kepada sekitar 3.5 hingga 3.75 peratus pada pertengahan Disember. Namun Trump sebelum ini mencadangkan kadar serendah satu peratus.

Kadar faedah rendah menjadikan pinjaman lebih murah dan menggalakkan perbelanjaan, tetapi pemotongan mendadak boleh meningkatkan risiko inflasi.

Menurut CNBC, calon utama untuk menggantikan Powell termasuk bekas Pengarah Majlis Ekonomi Negara, Kevin Hassett, bekas Gabenor Fed, Kevin Warsh dan Gabenor Fed semasa, Christopher Waller.

Hassett minggu ini berkata, Fed perlu terus menurunkan kadar faedah walaupun data ekonomi terkini menunjukkan prestasi AS lebih baik daripada jangkaan. Jabatan Perdagangan AS melaporkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.3 peratus bagi Julai hingga September, melebihi ramalan 3.2 peratus oleh penganalisis Dow Jones.

Ketua Pegawai Pelaburan Potomac River Capital, Mark Sandel berkata, Hassett dilihat calon paling kuat kerana hubungan rapatnya dengan Trump.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×