KAIR, Mesir: Kehidupan harian rakyat Sudan kini bergantung kepada sistem barter dan hutang susulan keruntuhan sistem perbankan akibat perang yang telah melanda negara itu lebih dua tahun menyaksikan wang tunai tidak lagi wujud sebagai medium pertukaran.
Ali, seorang penjawat awam di Dilling, Negeri Kordofan Selatan, berkata dia tidak memegang wang kertas lebih sembilan bulan.
Di kawasan yang dikepung oleh Pasukan Separa Tentera (RSF), barangan seperti pakaian dan perkakas rumah digunakan untuk menukar bahan makanan asas atau minyak kenderaan.
Sistem barter turut melibatkan pemandu motosikal dan tuk-tuk yang menerima minyak atau sabun sebagai bayaran perkhidmatan.
Ada juga keluarga yang menukar jagung, tepung atau gula untuk membiayai penyelenggaraan kenderaan mereka, kata sukarelawan tempatan Al-Sadiq Issa.
Perang antara tentera dan RSF menjejaskan Bank Pusat Sudan di Khartoum dan mengakibatkan penutupan serta kecurian simpanan bank.
Nilai euro melonjak dari 450 pound Sudan kepada 3,500 di pasaran gelap, menandakan keruntuhan ekonomi negara.
Bagi mereka yang masih mempunyai akses selamat, aplikasi Bankak membolehkan transaksi digital untuk menerima gaji, bantuan keluarga di luar negara atau dana kemanusiaan.
Namun di kawasan terputus sambungan dan dikepung seperti Kadugli, penduduk terpaksa mengamalkan sistem kredit berasaskan kepercayaan dan pertukaran barangan.
Perang telah membunuh puluhan ribu orang, mengusir 12 juta penduduk dan meletakkan Sudan dalam krisis kelaparan dan pelarian terbesar dunia.
Negara itu kini terbagi antara wilayah yang dikuasai tentera di utara, timur dan tengah, manakala barat dan selatan dikuasai paramiliter, menjadikan rakyat bergantung sepenuhnya kepada jaringan komuniti dan kaedah alternatif untuk meneruskan kelangsungan hidup.










