LONDON: Satu rancangan realiti televisyen berkonsep distopia yang dihasilkan sepenuhnya oleh kecerdasan buatan (AI) dilancarkan di YouTube pada Isnin.
Setiap peserta, keputusan dan detik dalam Non Player Combat dicipta sepenuhnya oleh AI, menghasilkan pengalaman kelihatan seperti gabungan Fortnite dan The Hunger Games.
Rancangan ini menampilkan enam watak generatif AI yang memburu antara satu sama lain sehingga mati di sebuah pulau maya terpencil.
Ia hadir lengkap dengan ciri-ciri klise fiksyen sains distopia dengan beberapa watak utama.
Jika peserta program realiti moden yang penuh ‘kesempurnaan’ masih tidak cukup ideal, kini watak-watak AI pula mengambil alih untuk memastikan penonton berasa serba kekurangan ketika menontonnya.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AiMation Studios iaitu studio di sebalik Non Player Combat, Tom Paton berkata, semuanya tidak bermakna jika penonton tidak peduli tentang para pemain.
“Jika penonton tidak jatuh cinta dengan watak-watak itu, ia tidak membawa apa-apa makna.
“Non Player Combat mewakili bentuk hiburan baharu yang muncul melalui AI dan membuktikan ia sudah pun wujud,” katanya.
Sebelum pelancaran rancangan itu, Paton berhujah kerana peserta dalam Non Player Combat tidak ‘berlakon’ depan kamera, selain kelihatan lebih tulen berbanding peserta program realiti melibatkan manusia sebenar.
Namun, pakar memberi amaran adalah berbahaya jika masyarakat mula menganggap AI itu lebih asli berbanding situasi realiti.
Hal ini kerana, AI adalah bertentangan dengan realiti, selain tidak mampu mencapai atau merasai emosi seperti manusia sebenar.










