LIMA: Seorang penyelam makanan laut dari Peru, Alejandro ‘Willy’ Ramos Martínez, terpaksa menanggung derita lebih sedekad akibat penyakit penyahmampatan (decompression sickness) yang berlaku apabila seseorang mengalami penurunan mendadak dalam tekanan persekitaran.
Keadaan itu berlaku pada 2013 ketika Willy menyelam pada kedalaman lebih 30 meter di pesisir pantai Pisco, Peru. Sebuah bot secara tidak sengaja memutus hos oksigennya, memaksanya naik ke permukaan dengan cepat, sekaligus menyebabkan gelembung nitrogen terbentuk di bawah kulit, terutama pada dada dan lengannya.
Kes itu dilaporkan kali pertama pada 2017 dan menjadi tular. Doktor ketika itu hanya mampu menghapuskan kira-kira 30 peratus gelembung nitrogen menggunakan oksigen tekanan tinggi, dan optimis dia akan pulih. Namun, lapan tahun kemudian, Willy masih mencari penawar.
Keunikan kes Willy terletak pada perubahan fizikal ketara, di mana otot bisepnya kini masing-masing mempunyai lilitan sekitar 62 sentimeter dan 72 sentimeter, menjadikannya mengalami kecacatan fizikal yang jarang berlaku akibat penyakit penyahmampatan.
Disebabkan gelembung nitrogen melekat pada otot dan organ dalaman, pembedahan bukan pilihan selamat. Willy terpaksa menjalani kehidupan seperti belon, menghadapi cabaran fizikal dan emosi, termasuk kemurungan akibat pandangan simpati orang ramai.
Dalam temu bual bersama BBC, Willy menyatakan kesyukuran kerana masih hidup dan berharap dapat kembali menyelam suatu hari nanti. “Walaupun cacat, saya masih hidup. Saya rindukan aktiviti menyelam kerana ia adalah hobi saya,” katanya.










