Penggunaan AI tambah jurang antara negara kaya dan miskin - PBB - Utusan Malaysia

Penggunaan AI tambah jurang antara negara kaya dan miskin – PBB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Di sebalik kemeriahan mengenai potensi kecerdasan buatan (AI), wujud realiti sukar yang perlu diberi perhatian termasuk bagaimana teknologi itu boleh memberi kesan kepada golongan yang sudah pun terpinggir dalam dunia berasaskan data.

Satu laporan baharu oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) menyatakan bahawa kebanyakan manfaat daripada AI dijangka lebih banyak dinikmati negara kaya, kecuali langkah proaktif diambil untuk menggunakan teknologi itu bagi merapatkan jurang dalam akses kepada keperluan asas dan kepakaran digital.

Laporan yang dikeluarkan pada Selasa itu menyamakan keadaan ini dengan perbezaan besar era revolusi perindustrian apabila negara Barat bergerak maju dengan pesat manakala negara lain ketinggalan.

Persoalan tentang bagaimana syarikat dan institusi akan menggunakan AI menjadi kebimbangan global, memandangkan potensinya menggantikan atau mengubah banyak pekerjaan manusia melalui penggunaan komputer dan robot.

Namun, ketika tumpuan terhadap AI banyak berkisar pada produktiviti, daya saing dan pertumbuhan ekonomi, persoalan yang lebih penting ialah bagaimana ia akan mempengaruhi kehidupan manusia, menurut laporan itu.

“Kita cenderung melebih-lebihkan peranan teknologi. Kita perlu memastikan keutamaan bukan teknologi dahulu, tetapi manusia dahulu,” kata Michael Muthukrishna dari London School of Economics, penulis utama laporan berkenaan semasa pelancaran laporan di Bangkok.

Risiko pengecualian paling membimbangkan bagi komuniti yang masih berdepan kesukaran mendapatkan kemahiran, tenaga elektrik dan sambungan internet, serta bagi golongan warga emas, pelarian perang, mangsa konflik dan bencana iklim. Pada masa sama, mereka yang terpinggir ini mungkin ‘tidak wujud’ dalam data yang digunakan sistem AI, menyebabkan keperluan mereka tidak diambil kira.

“Sebagai teknologi tujuan umum, AI mampu meningkatkan produktiviti, mencetuskan industri baharu dan membantu negara yang ketinggalan untuk mengejar,” menurut laporan itu.

Antara manfaat yang dilihat berpotensi besar ialah nasihat pertanian yang lebih tepat, analisis sinar-X dalam beberapa saat, diagnosis perubatan yang lebih pantas, ramalan cuaca yang lebih berkesan serta penilaian kerosakan lebih cepat yang semuanya amat berguna untuk komuniti luar bandar dan kawasan yang sering dilanda bencana.

“Sistem AI yang menganalisis kemiskinan, kesihatan dan risiko bencana mampu menghasilkan keputusan yang lebih pantas, adil dan telus, menjadikan data sebagai sumber pembelajaran berterusan dan nilai awam,” jelas laporan itu.

Namun, walaupun di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), kebimbangan timbul apabila pusat data berisiko menggunakan terlalu banyak tenaga elektrik dan air.

Usaha meningkatkan penjanaan tenaga untuk menampung permintaan pula boleh menjejaskan kemajuan dalam mengurangkan pelepasan karbon daripada bahan api fosil, sekali gus memburukkan pemanasan global dan memberi kesan negatif kepada kesihatan. -ARABNEWS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN