BANGKOK: Penduduk berhampiran sempadan Thailand-Kemboja kecewa apabila pertikaian wilayah yang berlarutan sejak puluhan tahun kembali meletus, sehingga sekali lagi memaksa ribuan keluarga melarikan diri mencari perlindungan.
Bagi Boonkerd Yoodeerum, 64, yang sudah beberapa kali melalui pengalaman sama, pergolakan terbaharu hanya mengukuhkan rasa putus asa terhadap konflik yang seakan tiada penghujung.
Bunyi tembakan artileri kedengaran daripada jauh ketika Yoodeerum berlindung bersama keluarganya di bawah sebuah jambatan berhampiran sempadan Kemboja, susulan pertempuran terbaharu di kawasan itu.
Katanya, insiden itu berlaku ketika dia sedang menoreh getah pada Ahad di wilayah Surin, timur Thailand, tidak jauh dari sempadan, sebelum terdengar beberapa letupan.
“Perkara pertama yang terlintas ialah ‘oh tidak, jangan berlaku lagi’, katanya sambil menambah mereka sekeluarga bergegas ke bawah jambatan untuk keselamatan.
Keluarga itu kembali ke lokasi sama yang pernah menjadi tempat perlindungan mereka lima bulan lalu dan beberapa tahun sebelumnya ketika konflik antara kedua-dua negara jiran semakin memuncak.
Mereka kini antara kira-kira setengah juta penduduk yang dipindahkan di kedua-dua sisi sempadan yang sekian lama menjadi pertikaian.
Sekurang-kurangnya 14 orang, termasuk anggota tentera Thailand dan orang awam Kemboja, terbunuh dalam pertempuran terbaharu, ketika jet pejuang, kereta kebal dan dron dikerahkan ke medan tempur, menurut pegawai.
Kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain susulan tercetus semula konflik itu, yang kini merebak ke lima wilayah di Thailand dan Kemboja, menurut kiraan AFP berdasarkan kenyataan rasmi.
Boonkerd berkata, dia kecewa kerana pertikaian wilayah yang berlarutan sejak puluhan tahun itu kembali meletus tanpa sebarang tanda penyelesaian.
“Mereka kata rundingan akan membawa keamanan. Satu gencatan senjata dicapai Julai lalu selepas campur tangan Presiden Amerika, Donald Trump, tetapi lihat sendiri berapa lama ia bertahan. Saya sudah hilang kepercayaan,” katanya.
PENDUDUK MENDERITA
Di seberang sempadan, di Srei Snam, Kemboja, kawasan tepi jalan yang dipenuhi khemah sementara menempatkan ratusan keluarga, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Yin Bei, 30, melarikan diri bersama suami dan bayinya berusia dua bulan, sebaik sahaja mendengar letupan kuat berhampiran rumah mereka pada Isnin.
“Perang seperti ini sangat menyukarkan kami. Saya ada bayi, jadi saya sangat menderita. Saya mahu perang ini cepat berakhir,” katanya kepada AFP.

Chea Chong berkata, ini merupakan kali ketiga dia terpaksa berpindah akibat konflik tersebut.
“Mereka bertempur begitu teruk. Tolonglah berbincang. Kita berjiran, hentikan sahaja, kami sedang menderita,” kata warga Kemboja berusia 73 tahun itu.
Seorang lagi penduduk di bandar Surin, Thailand, Ratana Chantrai berkata, letupan kuat menyebabkan dia mengalami kebimbangan yang teruk kerana rumahnya terletak kira-kira lima kilometer dari sempadan Kemboja.
“Saya hanya fikir mahu segera meninggalkan rumah dan membawa empat ekor kucing ke tempat selamat.
“Pertempuran ini tidak sepatutnya berulang dan memaksa kami melarikan diri begitu kerap. Saya tidak mahu generasi seterusnya hidup dalam keadaan seperti ini. Saya mahu pertempuran ini benar-benar berakhir,” katanya.
Sementara itu, pesara kakitangan hospital, Nittaya Sirithongkoon berkata, hatinya kesal melihat dua negara itu terus bertelagah.
“Kemboja sebenarnya jiran kita, seperti keluarga. Ahli politik, mereka asyik bertelagah sesama sendiri.
“Saya mahu kerajaan dan semua parti politik meletakkan kepentingan negara di tempat pertama,” katanya.
SURAT MAJLIS KESELAMATAN PBB
Thailand dalam suratnya kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertarikh 9 Disember menggesa masyarakat antarabangsa mendesak Kemboja menghentikan segala tindakan permusuhan dan provokasi yang menyebabkan negaranya terjejas.
Surat itu menuntut Kemboja memberikan penjelasan berhubung pelanggaran terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Thailand, menerima tanggungjawab penuh serta melaksanakan langkah bagi mengelakkan insiden seumpama itu berulang.
Wakil Tetap Thailand ke PBB, Cherdchai Chaivaivid, turut menggambarkan serangan Kemboja yang tidak diprovokasi serta kesannya terhadap orang awam dan tenteranya.
Surat berkenaan ditujukan kepada Duta Besar dan Wakil Tetap Republik Slovenia, Samuel Zbogar, yang kini mempengerusikan Majlis Keselamatan PBB.
Menurut surat itu, insiden pertama berlaku pada 7 Disember apabila pasukan Kemboja melepaskan tembakan ke arah anggota Infantri Batalion 13 Thailand yang ketika itu sedang melakukan kerja penyelenggaraan laluan di kawasan Phu Pha Lek–Phlan Hin Paet Kon, daerah Kantharalak, wilayah Si Sa Ket, Thailand.
Keadaan semakin meruncing pada awal pagi 8 Disember, apabila pasukan Kemboja didakwa melancarkan serangan tanpa provokasi terhadap sebuah pangkalan tentera Thailand di kawasan Chong Anh Ma, Ubon Ratchathani.
Ia kemudian diikuti serangan meluas dan tidak memilih sasaran di wilayah Thailand meliputi Buriram, Surin, Si Sa Ket dan Ubon Ratchathani, menurut surat.
Kemboja juga didakwa meningkatkan lagi tindakan permusuhan dengan melepaskan tembakan mesingan berat ke arah pasukan Thailand di Ban Nong Ya Kaew, daerah Khok Sung, Sa Kaeo.
Thailand menuduh Kemboja melakukan serangan berulang, tidak seimbang dan menyalahi undang-undang di wilayahnya, sengaja menyasarkan infrastruktur serta orang awam, termasuk penggunaan senjata berat seperti pelancar roket, mortar dan mesingan.
Thailand juga mendakwa terdapat pengumpulan berterusan senjata berat dan anggota tentera Kemboja di sepanjang sempadan.
Dengan merujuk kepada Piagam PBB, Thailand menegaskan serangan tersebut merupakan pelanggaran jelas terhadap Artikel 2(4) yang melarang penggunaan kekerasan terhadap integriti wilayah atau kemerdekaan politik mana-mana negara.
Sebagai tindak balas, Thailand menggunakan hak pertahanan diri yang terkandung dalam Artikel 51 Piagam PBB untuk mempertahankan kedaulatan, integriti wilayah dan keselamatan rakyat Thailand.- AFP/AGENSI










