Penduduk Hong Kong keluar mengundi selepas tragedi kebakaran - Utusan Malaysia

Penduduk Hong Kong keluar mengundi selepas tragedi kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Penduduk Hong Kong keluar mengundi hari ini bagi memilih barisan ahli legislatif baharu di bawah peraturan baharu Beijing yang mengehadkan pencalonan kepada golongan ‘patriot sahaja’.

Namun usaha kerajaan meningkatkan penyertaan pengundi terjejas berikutan tragedi kebakaran paling dahsyat dalam tempoh beberapa dekad.

Pusat mengundi dibuka pada 7.30 pagi di seluruh hab kewangan itu untuk memilih 90 anggota Dewan Perundangan, walaupun hanya 20 kerusi dipilih secara langsung oleh rakyat.

Kempen politik pula dihentikan serta-merta selepas kebakaran besar melanda kawasan perumahan Wang Fuk Court di utara Hong Kong pada akhir November, meragut sekurang-kurangnya 159 nyawa.

Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee, pada Jumaat menyeru rakyat tetap keluar mengundi, sambil menegaskan undian mereka menyokong proses pembaharuan serta usaha membantu mangsa.

Beliau berkata kerajaan akan membentangkan rang undang-undang bagi membincangkan bantuan dan kerja-kerja pemulihan pada mesyuarat pertama legislatif baharu.

Lee turut mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa bebas diketuai hakim bagi menyiasat punca kebakaran yang memusnahkan tujuh blok pangsapuri yang kini menjalani kerja ubah suai.

Setakat Rabu lalu, polis telah menahan 15 individu daripada beberapa syarikat pembinaan atas suspek menyebabkan kematian. Polis juga menahan tiga individu atas dakwaan hasutan, termasuk seorang pelajar yang mengedarkan risalah menggesa kerajaan bertanggungjawab.

Sebelum kebakaran, pilihan raya Hong Kong lazimnya menyaksikan persaingan sengit antara blok pro-Beijing dan pro-demokrasi, dengan kumpulan pro-demokrasi sering meraih sekitar 60 peratus undi popular.

Namun selepas undang-undang keselamatan nasional diperkenalkan pada 2020, Beijing merombak sistem pilihan raya pada 2021 dan mengurangkan jumlah kerusi dipilih secara langsung bagi memastikan hanya ‘patriot’ boleh bertanding.

Bagi meningkatkan penglibatan, pihak berkuasa menambah masa operasi pusat mengundi, melanjutkan perkhidmatan tren dan beberapa syarikat menawarkan cuti separuh hari kepada pekerja yang keluar mengundi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×