KINOKAWA: Kira-kira 500 orang hadir memberi penghormatan terakhir kepada seekor kucing yang menjadi ketua stesen di Stesen Kishi Laluan Kishigawa di Kinokawa, wilayah Wakayama pada Sabtu lalu.
Nitama, kucing betina berbulu calico, dilaporkan mati pada November lalu.
Kucing itu dilantik sebagai ‘Ketua Stesen Khas Kehormat’ oleh Wakayama Electric Railway bagi memperingati khidmatnya kepada laluan tersebut.
Nitama menggantikan ketua stesen terdahulu,Tama, seekor kucing calico dan menjadi ketua stesen kucing kedua di Kishi pada musim panas 2015.
Dalam jawatan itu, Nitama memainkan peranan penting dalam mempromosikan Laluan Kishigawa.
Menjelang akhir Oktober, selera makan Nitama mula berkurangan dan pada 20 November, kucing itu mati pada usianya 15 tahun.
“Dia bekerja dengan tekun dan memberikan keselesaan yang tiada tandingannya,” kata Presiden Wakayama Electric Railway, Mitsunobu Kojima dalam ucapan memperingati Nitama.
Peminat dari pelbagai lokasi hadir untuk menyaksikan upacara pengebumian Nitama.
Sejambak bunga dan makanan kucing turut diletakkan di altar peringatan yang didirikan berhampiran stesen.- AGENSI










