DOHA: Israel perlu mengundurkan tenteranya dari Gaza bagi memastikan gencatan senjata dapat dilaksanakan sepenuhnya, tegas Qatar dan Mesir yang menjadi penjamin utama perjanjian damai di wilayah bergolak itu.
Menurut kedua-dua negara, langkah tersebut menjadi keutamaan sebelum proses pemulihan dapat diteruskan ke fasa seterusnya.
Desakan itu dibuat setelah pelaksanaan fasa awal pelan damai yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ‘berjaya’ mengurangkan pertempuran.
Namun, kedua-dua pihak yang bertelagah masih belum mencapai kata sepakat untuk melangkah ke fasa berikutnya, terutama melibatkan isu keselamatan dan pentadbiran Gaza pasca-konflik.
Dalam fasa pertama, tentera Israel diarahkan berundur ke belakang garis kuning iaitu zon selamat, manakala Hamas membebaskan semua tebusan yang masih hidup dan menyerahkan kesemua mayat kecuali satu.
Namun keadaan terus tegang apabila kedua-dua pihak saling menuduh melanggar syarat perjanjian gencatan senjata tersebut.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, pada Forum Doha menegaskan gencatan senjata tidak akan lengkap tanpa pengunduran penuh pasukan Israel serta pemulihan kestabilan di Gaza.
Beliau menyifatkan keadaan kini sebagai ‘detik kritikal’ yang memerlukan komitmen sebenar daripada semua pihak.
Pelaksanaan fasa kedua terus terhalang oleh isu besar, khususnya pelucutan senjata Hamas yang termaktub dalam pelan 20 perkara yang digariskan Presiden AS, Donald Trump.
Walaupun Hamas sebelum ini menolak cadangan tersebut, kumpulan itu pada Sabtu menyatakan kesediaan menyerahkan senjata kepada sebuah kerajaan Palestin berdaulat sekiranya pendudukan Israel ditamatkan sepenuhnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan berkata rundingan mengenai pasukan penstabilan antarabangsa masih berjalan dan menuntut penyelarasan mengenai struktur komando serta penyertaan negara-negara anggota.
Turkiye dan Mesir turut mendesak supaya pasukan tersebut ditempatkan di sepanjang garis kuning bagi memantau sepenuhnya pematuhan gencatan.










