'Gaza perlu rumah, bukan khemah'

‘Gaza perlu rumah, bukan khemah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Pihak berkuasa di Gaza memberi amaran lebih banyak bangunan yang rosak akibat perang berkemungkinan runtuh ekoran hujan lebat di wilayah terkepung itu.

Menurutnya, cuaca buruk juga menyukarkan usaha pencarian mayat yang masih ‘terkubur’ di bawah runtuhan.

Pihak berkuasa kesihatan tempatan berkata, dua bangunan runtuh di Gaza pada Jumaat, mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang berikutan ribut yang juga memusnahkan dan menenggelamkan khemah, serta menyebabkan kematian akibat kesejukan.

Israel dan Hamas bersetuju untuk gencatan senjata pada Oktober selepas dua tahun pengeboman dan operasi ketenteraan yang sengit.

Bagaimanapun, agensi kemanusiaan berkata, bantuan yang sampai ke Gaza masih sangat sedikit, di mana hampir keseluruhan penduduknya kini hilang tempat tinggal.

Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal, menggesa masyarakat antarabangsa untuk menyediakan rumah mudah alih atau karavan untuk rakyat Palestin yang hilang tempat tinggal, bukannya khemah.

“Jika mereka tidak dilindungi hari ini, kita akan menyaksikan lebih ramai mangsa dan kematian melibatkan kanak-kanak, wanita serta seluruh keluarga di dalam bangunan,” katanya.

Mohammed Nassar dan keluarganya tinggal di sebuah bangunan enam tingkat yang teruk rosak akibat serangan Israel pada awal perang, sebelum ia runtuh Jumaat lalu.

Keluarganya bergelut untuk mencari tempat tinggal alternatif dan pernah menghadapi banjir ketika tinggal di khemah semasa cuaca buruk sebelum ini.

Menurut Mohammed, ketika kejadian, dia keluar membeli keperluan sebelum pulang dan menemukan ‘pemandangan mengerikan’ apabila melihat petugas penyelamat bergelut mengeluarkan mayat daripada runtuhan.

“Saya ternampak tangan anak saya terkeluar dari bawah tanah. Pemandangan itu sangat menghiris perasaan saya. Anak saya berada di bawah tanah dan kami tidak dapat mengeluarkannya,” kata Mohammed.

Anak lelakinya yang berusia 15 tahun meninggal dunia, begitu juga seorang anak perempuannya berumur 18 tahun.

BEKALAN PENTING DISEKAT

Kelmarin, Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini menegaskan, lebih banyak bantuan mesti dibenarkan masuk ke Gaza tanpa sebarang kelewatan bagi mengelakkan banyak keluarga kehilangan tempat tinggal menghadapi risiko yang serius.

“Dengan hujan lebat dan kesejukan yang disebabkan oleh Ribut Byron, rakyat di Gaza boleh mati kesejukan.

“Runtuhan tempat mereka berlindung yang bertakung air semakin runtuh, menyebabkan mereka lebih terdedah kepada cuaca sejuk,” katanya dalam kenyataan di X.

Lazzarini menegaskan, UNRWA mempunyai bekalan yang terkandas selama berbulan-bulan untuk masuk ke Gaza dan boleh menampung keperluan ratusan ribu penduduk daripada lebih dua juta orang.

PBB dan pegawai Palestin berkata, sekurang-kurangnya 300,000 khemah baharu diperlukan dengan segera untuk kira-kira 1.5 juta orang hilang tempat berlindung.

Kebanyakan tempat perlindungan sedia ada sudah uzur atau diperbuat daripada plastik nipis dan kain.

Sementara itu, pihak berkuasa Gaza masih bergelut mengeluarkan kira-kira 9,000 mayat yang terkubur di bawah runtuhan akibat pengeboman Israel semasa perang, namun kekurangan jentera berat melambatkan usaha berkenaan, kata jurucakap, Ismail Al-Thawabta.

Pada Isnin, petugas penyelamat berjaya mengeluarkan kira-kira 20 mayat daripada sebuah bangunan bertingkat yang dibom rejim pada Disember 2023, di mana 60 orang termasuk 30 kanak-kanak dipercayai berlindung.

Pihak berkuasa Gaza berkata, Israel tidak membenarkan jumlah bantuan seperti yang dijanjikan di bawah gencatan senjata.

Agensi bantuan turut memaklumkan Israel menghalang kemasukan barangan penting.

Israel pula mendakwa ia kononnya sudah memenuhi tanggungjawab dan menuduh agensi bantuan tidak cekap serta gagal mengekang kecurian oleh Hamas, yang dinafikan oleh kumpulan pejuang itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN