'Dalam masa 15 minit, asap penuhi bangunan dan kami hampir mati' - Utusan Malaysia

‘Dalam masa 15 minit, asap penuhi bangunan dan kami hampir mati’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Waktu makan tengah hari di sebuah pejabat tujuh tingkat berubah serta-merta apabila bangunan itu terbakar.

Kebakaran melibatkan pejabat di Cempaka Putih, Jakarta Pusat itu meragut nyawa 22 pekerja.

Seorang mangsa terselamat, Hansel, 31, masih trauma ketika menceritakan bagaimana asap hitam menyambar ruang tangga hingga memaksa mereka berlari ke bumbung sebagai jalan terakhir.

“Asapnya panas, menyengat… sukar bernafas. Ia benar-benar pengalaman hampir maut,” katanya yang hanya sempat menyambar komputer ribanya sebelum melarikan diri.

Aksi cemas pekerja yang melambai meminta bantuan dari tepi bumbung menjadi tular di media sosial, sebelum pasukan bomba berjaya menyelamatkan 19 daripada mereka dengan menggunakan tangga kecemasan.

Menurut saksi, Wandi, 51, api yang dikatakan bermula di tingkat bawah merebak terlalu pantas.

“Dalam 15 minit saja, semua laluan keluar sudah ditutup asap kimia. Mereka tidak ada pilihan selain naik ke atas,” jelasnya.

Di hospital pula, suasana pilu menyelubungi keluarga mangsa yang menunggu proses pengecaman. Antara yang terkorban ialah Novia Nurwana, 28, yang sarat hamil tujuh bulan.

Menurut sepupunya, Prasetyo, Novia cuba menyelamatkan diri dari tingkat lima namun terpaksa berpatah balik kerana asap terlalu pekat.

“Dia terperangkap… suaminya tidak berhenti menangis,” katanya sebak.

Pihak berkuasa Jakarta memaklumkan semua kos rawatan dan pengebumian mangsa akan ditanggung sepenuhnya.

Menteri Dalam Negeri, Tito Karnavian, turut mengarahkan audit menyeluruh terhadap prosedur keselamatan bangunan tinggi, termasuk sistem kelulusan PBG dan pemeriksaan keselamatan yang didakwa longgar.

“Kita tidak mahu tragedi seperti ini berulang. Setiap kelemahan mesti dikenal pasti,” tegasnya.

Polis Jakarta Pusat mengesahkan bangunan tersebut hanya mempunyai satu pintu masuk dan keluar serta satu lif, sekali gus menyukarkan proses evakuasi.

Enam saksi telah dipanggil untuk membantu siasatan, yang kini memberi tumpuan kepada kemungkinan kecuaian dan pelanggaran keselamatan. Setakat ini, tiada unsur jenayah dikenal pasti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN