LONDON: Saintis menemukan bukti tertua yang pernah direkodkan mengenai penggunaan api secara sengaja oleh manusia prasejarah di Suffolk, Britain sekaligus mendedahkan amalan itu berlaku 350,000 tahun lebih awal daripada apa yang dipercayai sebelum ini.
Tapak penemuan tersebut merupakan bekas lombong tanah liat berhampiran kampung Barnham, mengandungi sebuah unggun api yang dibina oleh Neanderthal sekitar 415,000 tahun lalu.
Sebelum ini, bukti terawal manusia menyalakan api secara sengaja adalah berusia sekitar 50,000 tahun, ditemukan di utara Perancis juga dikaitkan dengan Neanderthal.
Para penyelidik menemukan sisa unggun api yang digunakan berulang kali, termasuk tanah liat yang terjejas haba, alat batu api yang pecah akibat suhu tinggi serta dua ketulan mineral pirohit besi iaitu bahan yang menghasilkan percikan apabila diketuk pada batu api untuk menyalakan sumbu.
“Kami percaya manusia membawa pirohit ini ke tapak tersebut dengan tujuan untuk membuat api dan ini memberi implikasi besar sekali gus mengundurkan garis masa bukti terawal pembuatan api,” kata ahli arkeologi Nick Ashton, kurator Koleksi Paleolitik di British Museum.
Walaupun terdapat bukti lebih lama manusia menggunakan api semula jadi daripada kebakaran liar di Afrika, penemuan ini merupakan bukti terawal manusia tahu cara menyalakan api sendiri.
Api merupakan detik penting dalam evolusi manusia. Keupayaan mengawal api membolehkan pemburu-pengumpul zaman purba hidup di kawasan lebih sejuk, memasak makanan dan melindungi diri daripada pemangsa.
Proses memasak juga membantu nenek moyang kita memperoleh lebih banyak tenaga daripada daging, akar dan ubi, menyokong pertumbuhan otak yang lebih besar dan membolehkan komuniti menampung populasi lebih ramai.
Bukti di Barnham menunjukkan penggunaan api berulang kali pada suhu melebihi 700 darjah Celsius menandakan ia dinyalakan secara sengaja dan bukan diperoleh daripada sumber semula jadi.










