Angka korban banjir Indonesia melebihi 700, sejuta penduduk dipindahkan - Utusan Malaysia

Angka korban banjir Indonesia melebihi 700, sejuta penduduk dipindahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ACEH: Jumlah korban banjir dan tanah runtuh di pulau Sumatera meningkat kepada 708 orang pada Selasa, melonjak berbanding 604 kematian yang dilaporkan pada Isnin manakala 504 lagi masih hilang, menurut Agensi Bencana Indonesia (BNPB).

Hujan monsun lebat dan siklon tropika minggu ini telah melanda beberapa negara Asia termasuk Indonesia, Sri Lanka dan selatan Thailand, mengorbankan lebih 1,300 nyawa di seluruh rantau, merosakkan infrastruktur dan menenggelamkan kawasan penempatan.

Di Indonesia sahaja, 3.2 juta penduduk terjejas, manakala 2,600 orang cedera. Seramai 1 juta orang telah dipindahkan dari kawasan berisiko tinggi. Terdahulu, jumlah kematian dilaporkan 753, namun angka itu dikemas kini kepada 708 pada Selasa malam.

Pasukan bantuan berkejar untuk menyelamatkan mangsa, namun usaha mereka dihalang oleh jalan raya yang terputus dan jambatan yang rosak. Menurut Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF), beberapa kawasan termasuk Tapanuli Tengah di Sumatera Utara dan Agam di Acheh tidak dapat diakses melalui jalan darat.

Di Acheh, antara kawasan paling teruk terjejas, bekalan makanan seperti beras, sayur-sayuran dan barangan keperluan semakin berkurangan dan harga dilaporkan meningkat tiga kali ganda.

Menurut Islamic Relief yang menghantar 12 tan bantuan makanan kecemasan, komuniti di Acheh berisiko menghadapi kekurangan makanan serius jika laluan bekalan tidak dibuka semula dalam tujuh hari.

Kerajaan Indonesia pada Isnin mengumumkan penghantaran 34,000 tan beras dan 6.8 juta liter minyak masak ke Acheh serta ke wilayah Sumatera Utara dan Sumatera Barat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata ia sedang menghantar pasukan tindak balas pantas dan bekalan kritikal ke kawasan terjejas, selain memperkukuh pemantauan penyakit.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, dalam sidang media di Geneva menyifatkan tragedi ini sebagai satu lagi peringatan bahawa perubahan iklim mendorong kejadian cuaca ekstrem yang lebih kerap dan lebih dahsyat.

Ramai daripada mangsa terselamat ditempatkan di pusat pemindahan menceritakan bagaimana arus deras tiba dengan pantas dan menenggelamkan kampung halaman mereka.

“Kami tak sangka boleh selamat malam itu kerana keadaannya begitu kelam-kabut. Semua orang hanya fikirkan untuk menyelamatkan diri. Tiada sebarang amaran sebelum air datang,” kata Gahitsa Zahira Cahyani, 17, seorang pelajar sekolah pondok.

Beratus-ratus pelajar terpaksa melarikan diri pada waktu malam, ada yang berpaut pada pokok dan bumbung masjid bagi menyelamatkan diri. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN