BANGKOK: Tentera Thailand mendakwa Kemboja melanggar perjanjian gencatan senjata yang baru dimeterai apabila lebih 250 dron dikesan memasuki ruang udara Thailand, hanya sehari selepas kedua-dua negara bersetuju menghentikan pertempuran di sepanjang sempadan yang meragut puluhan nyawa.
Menurut kenyataan tentera Thailand, lebih 250 kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dikesan terbang dari arah Kemboja dan menceroboh wilayah kedaulatan Thailand pada malam Ahad, satu tindakan yang disifatkan sebagai provokasi serta bercanggah dengan persetujuan mengurangkan ketegangan.
Dakwaan terbaharu itu menimbulkan persoalan terhadap kelangsungan gencatan senjata yang dicapai pada Sabtu lalu, selepas konflik sempadan selama beberapa minggu menyebabkan puluhan terbunuh dan lebih sejuta penduduk di kedua-dua negara terpaksa berpindah.
Tentera Thailand turut memberi amaran tindakan Kemboja itu boleh menjejaskan keselamatan anggota tentera dan orang awam di kawasan sempadan, selain memaksa Bangkok mempertimbangkan semula keputusan untuk membebaskan 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan sejak Julai lalu.
Bagaimanapun, Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn, berkata kedua-dua pihak telah membincangkan insiden berkenaan dan bersetuju untuk menjalankan siasatan serta menyelesaikannya segera.
Beliau menyifatkan isu itu sebagai perkara kecil berkaitan penerbangan dron yang dilihat oleh kedua-dua pihak di sepanjang sempadan.
Insiden itu berlaku ketika menteri luar Thailand dan Kemboja baru sahaja menamatkan rundingan dua hari di China yang bertujuan membina semula kepercayaan dan memperbaiki hubungan, dengan Beijing memainkan peranan sebagai perantara.
Konflik antara Thailand dan Kemboja berpunca daripada pertikaian sempadan era penjajahan sepanjang kira-kira 800 kilometer, termasuk tuntutan bertindih ke atas runtuhan kuil purba.
China sebelum ini menggesa kedua-dua negara mengekalkan gencatan senjata yang disifatkan sebagai “sukar dicapai” demi kestabilan serantau.











