15 tentera Thailand terkorban perang dengan Kemboja - Utusan Malaysia

15 tentera Thailand terkorban perang dengan Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Sekurang-kurangnya 15 anggota tentera Thailand terkorban manakala 270 lagi cedera dalam pertempuran terbaharu yang tercetus di sempadan Thailand–Kemboja, menurut pihak berkuasa pertahanan Thailand.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Surasant Kongsiri berkata, pertempuran itu berlaku di kawasan sempadan yang dipertikaikan, melibatkan wilayah Sisaket di Thailand dan Banteay Meanchey di Kemboja.

Katanya, konflik yang bermula sejak 7 Disember lalu menyaksikan kedua-dua negara saling menuduh antara satu sama lain sebagai pihak yang memulakan serangan.

Susulan peningkatan ketegangan, kerajaan Thailand telah menubuhkan sebanyak 970 pusat perlindungan sementara bagi menempatkan penduduk yang terpaksa dipindahkan dari kawasan terjejas.

Setakat ini, lebih 263,000 orang telah dipindahkan ke pusat perlindungan tersebut, manakala angka kematian dalam kalangan orang awam Thailand meningkat kepada tujuh orang.

Dalam kenyataan berasingan, Tentera Diraja Thailand (RTA) mendakwa tentera Kemboja melancarkan serangan terhadap kawasan awam di wilayah Sisaket, menyebabkan dua penduduk cedera parah ketika mereka cuba menyelamatkan diri ke tempat perlindungan.

RTA mengecam keras tindakan itu dan menyifatkannya sebagai serangan terhadap keselamatan orang awam, namun setakat ini pihak Kemboja belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas terhadap dakwaan berkenaan.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Kemboja mengumumkan penutupan semua pintu sempadan dengan Thailand sehingga diberitahu kelak, sambil menasihatkan rakyat kedua-dua negara yang berada di seberang sempadan agar kekal di lokasi masing-masing sehingga satu gencatan senjata dicapai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN