TEL AVIV: Polis Israel menahan Ketua Peguam Tentera, Mejar Jeneral Yifat Tomer-Yerushalmi, selepas beliau membocorkan sebuah rakaman video yang memaparkan askar Israel mendera seorang tahanan Palestin.
Menurut Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, Tomer-Yerushalmi ditahan pada awal pagi Isnin, beberapa hari selepas beliau meletak jawatan dan menghilangkan diri.
Tindakan membocorkan video itu mencetuskan kontroversi besar sehingga Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menyifatkannya sebagai serangan paling serius terhadap imej Israel sejak negara itu ditubuhkan.
Tomer-Yerushalmi sebelum ini menghilangkan diri selama beberapa jam pada Ahad selepas mengumumkan peletakan jawatannya, mencetuskan spekulasi kemungkinan beliau cuba membunuh diri.
Salinan surat peletakan jawatannya yang diterbitkan media Israel pada Jumaat menunjukkan beliau mengakui pejabatnya telah menyerahkan rakaman video tersebut kepada media tahun lalu dan susulan itu, lima anggota simpanan tentera telah didakwa atas kesalahan mendera tahanan.
Ben-Gvir dalam kenyataannya di Telegram berkata, pihak berkuasa penjara telah diarahkan untuk meningkatkan langkah keselamatan bagi memastikan keselamatan tahanan berkenaan semasa dalam tahanan.
Mahkamah Tel Aviv kemudiannya mengarahkan Tomer-Yerushalmi ditahan reman sehingga Rabu tengah hari dan disyaki atas beberapa pertuduhan termasuk penipuan, salah guna kuasa, menghalang keadilan, serta membocorkan maklumat rasmi.
Kes ini berpunca daripada penyiaran rakaman oleh saluran Channel 12 pada Ogos 2024, yang menunjukkan kejadian penderaan tahanan Palestin di Pangkalan Tentera Sde Teiman di selatan Israel – lokasi yang digunakan untuk menahan rakyat Palestin sejak perang di Gaza meletus.
Rakaman kamera litar tertutup itu memaparkan beberapa anggota tentera menahan tahanan di sebalik perisai, dengan perbuatan jenayah berlaku di belakang mereka.
Video berkenaan mencetuskan kemarahan antarabangsa dan bantahan di dalam Israel sendiri, memaksa tentera mengumumkan pada Februari lalu lima anggota simpanan telah didakwa atas kesalahan mendera tahanan secara ganas, termasuk menikam punggung tahanan menggunakan objek tajam sehingga mencederakan paru-paru dan menyebabkan pendarahan dalaman. -AGENSI










