PARIS: Ukraine dijangka menerima sehingga 100 jet pejuang Rafale F4 buatan Perancis serta sistem pertahanan udara canggih melalui satu perjanjian besar bagi memperkukuh keupayaan Kyiv menangkis serangan maut Rusia.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyifatkan langkah itu sebagai “bersejarah” selepas menandatangani perjanjian bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron di sebuah pangkalan udara berhampiran Paris.
Penghantaran Rafale F4 dijangka selesai menjelang 2035, manakala pengeluaran bersama dron pemintas akan bermula tahun ini.
Butiran kewangan masih belum dimuktamadkan, namun laporan menyebut Perancis bercadang mendapatkan pembiayaan daripada Kesatuan Eropah (EU) serta menggunakan aset Rusia yang dibekukan, langkah yang menimbulkan kontroversi di kalangan 27 anggota blok itu.
Zelensky berkata Ukraine turut akan menerima radar berkeupayaan tinggi, lapan sistem pertahanan udara dan pelbagai senjata canggih lain.
Presiden Perancis, Macron pula menegaskan Rafale diperlukan untuk memulihkan kekuatan tentera Ukraine.
“Kami merancang Rafale, 100 Rafale satu jumlah yang besar. Inilah yang diperlukan untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.
Jet pejuang itu dilihat penting bagi melindungi ruang udara Ukraine daripada serangan jarak jauh Russia.
Penganalisis pertahanan Ukraine, Serhiy Kuzhan berkata sistem udara-ke-udara Perancis dengan jarak 200km amat penting kerana Russia menggunakan peluru berpandu dengan jarak 230km.
Namun, pakar dari Royal United Services Institute (RUSI), Justin Bronk, mengingatkan kesan sebenar perjanjian itu bergantung kepada tempoh masa dan jenis peluru berpandu yang disertakan.
Selain Rafale, tentera udara Ukraine kini menggunakan pesawat Mirage buatan Perancis dan F-16 Amerika Syarikat. Kyiv juga bersetuju secara prinsip untuk mendapatkan jet pejuang Gripen dari Sweden.










