Tujuh maut pesawat kargo UPS terhempas

Tujuh maut pesawat kargo UPS terhempas di lapangan terbang Louisville

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENTUCKY: Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dan 11 lagi cedera selepas sebuah pesawat kargo milik UPS terhempas di Louisville, Kentucky sebelum meletup menjadi bola api besar sejurus berlepas.

Gabenor Kentucky, Andy Beshear berkata, beberapa mangsa mengalami kecederaan serius dan jumlah korban dijangka meningkat sementara pasukan penyelamat masih berusaha memadamkan kebakaran yang berlaku berhampiran lapangan terbang.

Pesawat kargo tiga enjin itu dilaporkan dipenuhi bahan api untuk penerbangan sejauh lapan jam setengah ke Honolulu.

Menurut UPS, pesawat tersebut membawa tiga kru penerbangan, dan pihak berkuasa persekutuan percaya semua mereka terkorban.

Saluran televisyen WLKY, rakan rangkaian CBS menyiarkan rakaman detik nahas berlaku, menunjukkan api pada satu daripada sayap pesawat ketika berlepas, sebelum ia menjunam ke tanah dan meletup menghasilkan bola api besar.

Beberapa bangunan di kawasan perindustrian berhampiran turut terbakar, dengan asap hitam tebal menjulang ke langit senja.

Menurut kenyataan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), pesawat UPS Flight 2976 terhempas sekitar pukul 5.15 petang (waktu tempatan) selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Louisville Muhammad Ali.

Sumber yang dimaklumkan mengenai siasatan memberitahu Reuters, antara fokus utama penyiasatan ialah sama ada enjin pesawat terpisah sebelum nahas berlaku, susulan laporan video menunjukkan serpihan di kawasan lapangan terbang.

Pakar keselamatan penerbangan Amerika Syarikat (AS), John Cox berkata, penyiasat perlu meneliti mengapa pesawat tiga enjin itu gagal terbang selepas satu enjinnya terbakar.

Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan penuh bagi menentukan punca sebenar kejadian tragis tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN