KYIV: Pelbagai reaksi bercampur baur yang diberikan oleh tentera Ukraine termasuk penentangan, kemarahan dan rasa pasrah ketika menyambut draf cadangan damai Amerika Syarikat (AS).
BBC menemu bual enam anggota tentera yang berkongsi pandangan mereka melalui media sosial dan emel susulan kebocoran kandungan awal pelan damai AS minggu lalu.
Sejak itu, rundingan antara perunding Ukraine dan AS diteruskan bagi meminda serta memperhalusi rangka kerja damai tersebut.
Seorang tentera di timur Ukraine, Yaroslav, menyifatkannya sebagai langsung tidak berguna dan tiada siapa akan menyokongnya manakala seorang petugas perubatan yang menggunakan panggilan Shtutser menyifatkannya sebagai rancangan damai yang memalukan dan tidak layak diberi perhatian.
Namun seorang lagi tentera, berpandangan sudah tiba masanya Ukraine bersetuju dengan sesuatu sekurang-kurangnya.
AS mengemukakan cadangan damai pada ketika Russia terus melakar kemaraan ketara di medan perang, dengan Ukraine kehilangan tambahan 450 kilometer persegi dalam tempoh sebulan.
Kyiv kini menguasai sekitar 15 peratus wilayah Donbas, merangkumi Luhansk dan Donetsk, namun draf asal mencadangkan Ukraine menyerahkan seluruh wilayah itu termasuk kawasan yang telah dipertahankan hampir empat tahun sejak perang bermula.
“Tiada sesiapa tinggal di bandar dan kampung itu… Kita bukan lagi berperang untuk penduduk tetapi untuk tanah, sedangkan lebih ramai rakyat kita gugur.” kata Snake.
Andrii, seorang pegawai dalam Markas Besar Angkatan Tentera Ukraine, mengakui cadangan menyerahkan Donbas amat menyakitkan, tetapi menyatakan Ukraine mungkin tidak lagi mampu mempertahankannya secara ketenteraan setelah berjuang sejak 2014.
Draf AS mencadangkan kekuatan tentera Ukraine dihadkan kepada 600,000 anggota, tetapi jumlah tersebut lebih besar daripada 250,000 sebelum perang bermula, tetapi lebih kecil daripada anggaran semasa melebihi 800,000.
Secara keseluruhan, tentera Ukraine menunjukkan rasa ragu-ragu terhadap pelan damai AS.










