Serangan bom: India-Pakistan cuba elak 'perang' sekali lagi

Serangan bom: India-Pakistan cuba elak ‘perang’ sekali lagi

PAKAR forensik menjalankan siasatan di lokasi letupan berhampiran Red Fort di Delhi. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Selepas isu Thailand-Kemboja, kini hubungan India dan Pakistan pula kembali diuji berikutan dua insiden letupan di kedua-dua negara yang meragut nyawa orang awam awal minggu ini.

Namun kali ini, India dilihat mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati dalam membuat tuduhan terhadap siapa yang bertanggungjawab, berbeza dengan sikap sebelum ini yang menjadi punca peperangan apabila kedua-dua negara pantas menuding jari antara satu sama lain.

Kerajaan India pada Rabu mengesahkan letupan kereta yang mengorbankan 12 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 20 yang lain berhampiran stesen metro Red Fort di Delhi dianggap sebagai insiden pengganas dan berikrar untuk membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan secepat mungkin.

ELAK KETEGANGAN

Namun kerajaan India memilih mengelak daripada mengeluarkan sebarang tuduhan berhubung insiden itu meskipun tekanan politik dan awam semakin meningkat.

Langkah ini dilihat sebagai strategi diplomatik selepas kenyataan Perdana Menteri, Narendra Modi pada Mei lalu yang menegaskan setiap serangan pengganas akan dianggap sebagai tindakan perang.

Kenyataan itu menetapkan garis merah baharu dalam hubungan India-Pakistan, menjadikan sebarang tuduhan rasmi berisiko mencetuskan konflik bersenjata.

NARENDRA
Modi melawat mangsa yang cedera dalam letupan berhampiran Red Fort di Hospital Lok Nayak, New Delhi.
–AFP

Dalam satu resolusi yang diluluskan lewat Rabu, Kabinet Modi mengarahkan supaya siasatan dijalankan dengan segera dan penuh profesionalisme agar pelaku, rakan sekongkol serta penaja mereka dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan tanpa berlengah.

Tiga sumber yang rapat dengan siasatan berkata, polis sedang menyiasat sama ada letupan itu mempunyai kaitan dengan penahanan tujuh lelaki di wilayah bergolak Kashmir sebelum ini, yang didapati memiliki senjata api serta bahan pembuat bom.

Walaupun pihak berkuasa menahan beberapa individu di Kashmir dan membuka siasatan di bawah Akta Pencegahan Kegiatan Tidak Sah (UAPA), tiada kenyataan rasmi mengaitkan mana-mana negara atau kumpulan dengan insiden tersebut.

Sebaliknya, pegawai keselamatan menekankan keperluan untuk menyelesaikan siasatan secara menyeluruh sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Letupan di luar kubu bersejarah Red Fort pada Isnin malam itu merupakan kejadian pertama seumpamanya di ibu negara yang mempunyai lebih 30 juta penduduk sejak tahun 2011.

Malah, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio berkata, Washington turut menawarkan bantuan kepada India dalam penyiasatan tersebut.

“Kami menawarkan bantuan, namun saya percaya mereka berkemampuan mengendalikan siasatan ini dengan baik,” katanya kepada wartawan di Kanada selepas mesyuarat Menteri Luar G7.

Insiden pada 10 November itu dikhuatiri meningkatkan ketegangan serantau, terutamanya selepas Pakistan menuduh proksi India terlibat dalam serangan berasingan di hadapan mahkamah Islamabad yang turut meragut 12 nyawa dan mencederakan lebih 27 orang.

India pantas menolak dakwaan tersebut sebagai ‘tidak berasas dan mengarut’

Penganalisis keselamatan menyatakan pendekatan berhati-hati India bertujuan mengekalkan kestabilan serantau dan mengelakkan ketegangan ketenteraan yang boleh memberi kesan besar kepada ekonomi dan keselamatan domestik.

SIASATAN DITERUSKAN

Beberapa jam sebelum letupan di Delhi, polis di wilayah persekutuan Jammu dan Kashmir mengumumkan penahanan tujuh lelaki, termasuk dua doktor dalam satu siasatan antikeganasan berasingan yang turut melibatkan serbuan di Kashmir serta negeri Haryana dan Uttar Pradesh yang bersempadan dengan Delhi.

Dalam kenyataan polis Kashmir, serbuan itu menemui dua pistol, dua raifal serangan dan 2,900 kilogram bahan pembuat bom.

“Siasatan mendedahkan satu ekosistem pengganas ‘kolar putih’ yang melibatkan golongan profesional dan pelajar radikal yang berhubung dengan pengendali asing dari Pakistan dan negara lain.

“Kumpulan ini mempunyai kaitan dengan militan berpangkalan di Pakistan, Jaish-e-Mohammad dan Ansar Ghazwat-ul-Hind,” kata kenyataan itu.

Kementerian Luar Pakistan setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas.

India lama menuduh Pakistan menyokong militan di Kashmir, wilayah Himalaya yang dituntut oleh kedua-dua negara tetapi Islamabad menafikan tuduhan itu.

Polis kini menyiasat kemungkinan kaitan antara pemandu kereta yang meletup dalam insiden pada Rabu dengan tujuh lelaki yang ditahan itu, menurut tiga sumber yang enggan dikenali kerana tidak dibenarkan bercakap secara terbuka tentang isu sensitif itu.

Siasatan tertumpu kepada sama ada pemandu kereta itu merupakan seorang doktor dan rakan kepada seorang daripada dua doktor yang ditahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN