Senat AS capai persetujuan sambung pembiayaan, mungkin akhiri penutupan kerajaan - Utusan Malaysia

Senat AS capai persetujuan sambung pembiayaan, mungkin akhiri penutupan kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Ahli-ahli Senat Amerika Syarikat (AS) mencapai satu perjanjian dua parti semalam bagi menyambung semula pembiayaan kerajaan persekutuan dan menamatkan penutupan kerajaan yang berlarutan selama 40 hari iaitu tempoh paling lama dalam sejarah negara itu

Stesen berita CNN dan Fox News melaporkan, perjanjian sementara itu akan membiayai semula operasi kerajaan sehingga Januari depan selepas rundingan panjang mengenai subsidi penjagaan kesihatan, bantuan makanan dan tindakan Presiden Donald Trump memecat ribuan kakitangan kerajaan.

Ketika berita mengenai kejayaan rundingan itu tersebar, Trump memberitahu wartawan di Rumah Putih berkemungkinan penutupan kerajaan akan berakhir dalam masa terdekat.

Rang undang-undang tersebut dijangka menerima undian prosedur di Senat pada lewat malam Ahad sebelum dibentangkan ke Dewan Perwakilan yang dikuasai Parti Republikan untuk diluluskan, dan seterusnya diserahkan kepada Trump bagi ditandatangani menjadi undang-undang.

Menurut ahli Senat, rang undang-undang itu akan memulihkan dana bagi program bantuan makanan SNAP yang membantu lebih 42 juta rakyat AS berpendapatan rendah membeli barangan keperluan, selain membatalkan pemecatan besar-besaran pekerja kerajaan dan memastikan undian diadakan untuk melanjutkan subsidi penjagaan kesihatan di bawah Akta Penjagaan Mampu (ACA).

Senator Demokrat, Tim Kaine, berkata perjanjian itu menjamin undian untuk melanjutkan kredit cukai premium ACA yang sebelum ini ditolak oleh Republikan.

Namun, sebahagian pemimpin Demokrat, termasuk Ketua Minoriti Senat Chuck Schumer, menentang perjanjian itu kerana ia hanya menjanjikan undian dan bukannya pelanjutan terus subsidi tersebut.

“Saya tidak dapat menyokong resolusi ini yang gagal menangani krisis kesihatan dengan sewajarnya. Perjuangan ini mesti diteruskan,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN