TOKYO: Seorang pempengaruh terkenal Thailand mencetuskan kemarahan netizen selepas merakam dirinya menari di atas sebuah kereta berhampiran lokasi tumpuan pelancong berhampiran Gunung Fuji, sehingga mencetuskan desakan dia diharamkan memasuki Jepun semula.
Jaturong “Jack” Papho, lebih dikenali sebagai Jack Papho, memuat naik video insiden berkenaan di Facebook dan TikTok semalam, dengan kapsyen berbunyi: “Saya tak peduli pada mereka yang pandang rendah saya.”
Rakaman itu dibuat di hadapan kedai serbaneka Lawson cawangan Kawaguchiko-Ekimae, Fujikawaguchiko, di wilayah Yamanashi, lokasi yang terkenal sebagai tempat penggambaran Gunung Fuji.
Dalam video tersebut, Jack memanjat bumbung sebuah van sebelum menari sambil disorak rakan-rakannya, tindakan yang turut dirakam pelancong dan penduduk tempatan.
Tindakan itu mengundang kecaman hebat warga maya Thailand yang mendakwa Jack memalukan rakyat Thailand dan merosakkan imej pelancong negara itu di luar negara.
Kritikan bertambah apabila Jack membalas komen dengan nada sinis seperti: “Mereka tahu ke saya orang Thailand?”, “Jangan marah, nanti gula naik”, dan “Kenapa tak marah masa saya buat benda sama di India? Sebab kamu lebih sayang orang Jepun daripada India? Kamu rasis?”
Isterinya, Jariya “Tangmo” Rangwiroon, turut tampil menjauhkan diri daripada kontroversi itu dan menegaskan beliau tidak menyokong tingkah laku suaminya, malah sudah memberi peringatan terlebih dahulu.
Rentetan itu, beratus-ratus netizen Thailand membanjiri laman Facebook Kedutaan Jepun di Thailand untuk memohon maaf atas perbuatan Jack, malah ada yang menggesa agar beliau disenarai hitam daripada memasuki Jepun.
Pentadbir laman J-doradic mendakwa telah menyerahkan video itu kepada polis Jepun untuk tindakan lanjut sebelum Jack kemudiannya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka namun tetap enggan memadam video berkenaan. -AGENSI










