SEOUL: Setiap bulan November, seluruh Korea Selatan seakan berhenti seketika apabila pelajar menghadapi peperiksaan masuk universiti yang terkenal, Suneung.
Kedai-kedai ditutup, penerbangan ditangguhkan dan perjalanan pagi diperlahankan semata-mata untuk memberi peluang pelajar menumpukan perhatian pada peperiksaan yang kebiasaanya berlangsung selama lapan jam.
Menjelang lewat petang, ramai calon keluar dari pintu sekolah dengan lega, memeluk ahli keluarga yang menunggu di luar.
Namun, bagi sesetengah pelajar cacat penglihatan, hari itu masih jauh dari selesai.
Pelajar dengan masalah penglihatan teruk sering mengambil masa lebih 12 jam untuk menamatkan Suneung, menjadikan peperiksaan ini satu ujian stamina luar biasa.
550,000 PELAJAR TERLIBAT
Kelmarin, lebih 550,000 pelajar menduduki Suneung di seluruh negara iaitu jumlah tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
Peperiksaan ini bukan sekadar menentukan universiti, tetapi turut mempengaruhi prospek kerjaya, pendapatan, lokasi tempat tinggal, dan kehidupan masa depan pelajar.
Kandungan peperiksaan merangkumi kira-kira 200 soalan termasuk Bahasa Korea, Matematik, Bahasa Inggeris, Sains Sosial atau Semula Jadi, satu bahasa asing tambahan dan Hanja, aksara Cina klasik yang digunakan dalam bahasa Korea.
Bagi pelajar biasa, peperiksaan berlangsung lapan jam berturut-turut.

Namun, pelajar cacat penglihatan diberikan 1.7 kali ganda masa sekali gus boleh memanjangkan peperiksaan sehingga hampir 13 jam tanpa rehat dan makan malam.
Selain masa panjang, jumlah kertas braille yang tebal iaitu enam hingga sembilan kali ganda daripada versi standard, menjadikan peperiksaan lebih mencabar secara fizikal.
Di Sekolah Hanbit untuk Pelajar Cacat Penglihatan di Seoul, Han Dong-hyun, 18, antara calon yang akan mengambil versi terpanjang Suneung tahun ini.
Dong-hyun dilahirkan buta sepenuhnya. Dia menggunakan kertas braille dan komputer pembaca skrin untuk menyiapkan peperiksaan.
Dengan hanya seminggu lagi sebelum peperiksaan, Dong-hyun menumpukan perhatian pada pengurusan stamina dan kondisi fizikalnya.
Bahagian Bahasa Korea paling mencabar baginya. Buku peperiksaan standard 16 halaman bertukar menjadi kira-kira 100 halaman dalam versi braille.
Walaupun menggunakan perisian pembaca skrin, maklumat yang didengar hilang sebaik sahaja ia diterima, berbeza dengan teks visual yang boleh dibaca semula.
Bahagian Matematik juga memerlukan fokus tinggi. Dong-hyun perlu mentafsir graf dan jadual kompleks dalam braille menggunakan hujung jarinya sahaja.
Sejak 2016, pelajar cacat penglihatan dibenarkan menggunakan notetaker braille, Hansone, untuk mencatat pengiraan, menggantikan pengiraan mental sepenuhnya.
“Seperti pelajar yang melihat menulis pengiraan dengan pensel, kami masukkan pengiraan dalam braille pada Hansone untuk mengikuti langkah-langkahnya,” kata Dong-hyun.
Rakan Dong-hyun, Oh Jeong-won, 18, berkata lewat petang adalah masa paling sukar kerana mereka terus menjawab soalan semasa waktu makan, menambah keletihan.
BAHAN KULIAH LAMBAT DIHASILKAN
Selain panjang peperiksaan, akses kepada bahan pembelajaran juga satu cabaran besar. Versi braille buku teks dan kuliah dalam talian kerap lambat tersedia, kadang-kadang hanya beberapa bulan sebelum peperiksaan.
Banyak buku teks popular hanya tersedia dalam versi visual, manakala menukar bahan kepada audio memerlukan fail teks yang sukar diperoleh. Kadang-kadang, keseluruhan buku kerja perlu ditaip semula secara manual.

Kuliah dalam talian juga mencabar kerana pengajar sering menggunakan nota visual, rajah dan grafik yang tidak boleh diikuti hanya melalui audio.
Guru mereka, Kang Seok-ju, berkata ketahanan pelajar cacat penglihatan amat mengagumkan kerana membaca braille berjam-jam boleh menyebabkan tangan sakit, tetapi mereka tetap fokus menyiapkan peperiksaan.
Bagi pelajar cacat penglihatan, Suneung bukan sekadar peperiksaan masuk universiti, tetapi bukti ketabahan dan daya tahan bertahun-tahun.
Dengan peperiksaan yang panjang, bahan pembelajaran yang lambat dan keperluan memberi fokus sepenuhnya kepada deria sentuhan dan pendengaran, cabaran pelajar cacat penglihatan jauh melebihi pelajar biasa.










