Kemarau terburuk, air di Teheran hanya bertahan dua minggu

Kemarau terburuk, air di Teheran hanya bertahan dua minggu

SEORANG lelaki melihat paras air yang rendah pada bahagian hulu sungai di kawasan empangan Amir Kabir di sepanjang Sungai Karaj di banjaran gunung Alborz, utara Iran. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Sumber utama air minuman bagi penduduk ibu negara Iran, Teheran, berisiko habis dalam tempoh dua minggu berikutan kemarau terburuk yang melanda negara itu.

Pengarah Syarikat Air Ibu Negara, Behzad Parsa berkata, empangan Amir Kabir, satu daripada lima empangan yang membekalkan air minuman ke Teheran kini hanya menyimpan 14 juta meter padu air, hanya lapan peratus daripada kapasitinya.

“Pada paras itu, empangan hanya mampu membekalkan air kepada Teheran selama dua minggu,” katanya kepada agensi berita IRNA.

Paras hujan terendah itu dilaporkan tidak pernah berlaku dan disifatkan terburuk dalam tempoh lebih satu abad.

Bandar raya mega dengan lebih 10 juta penduduk itu terletak berhampiran lereng selatan Pergunungan Alborz yang sering dilitupi salji, mencapai ketinggian sehingga 5,600 meter dan sungai-sungainya mengalir ke beberapa takungan air.

Menurut Behzad, setahun lalu, Empangan Amir Kabir menyimpan 86 juta meter padu air namun kini berlaku penurunan hampir 100 peratus taburan hujan di kawasan sekitar Teheran.

Pam air berlebihan dari akuifer bawah tanah turut mengeringkan telaga-telaga ini pada kadar yang tidak mampan.

Menurut media Iran, penduduk Teheran menggunakan sekitar tiga juta meter padu air setiap hari.

Sebagai langkah penjimatan, bekalan air terpaksa dipotong di beberapa kawasan sejak kebelakangan ini, manakala gangguan bekalan berlaku dengan kerap pada musim panas lalu.

Sejak Mac lalu, penduduk di kawasan seperti Damavand dan Firuzkuh mula bergantung kepada lori tangki untuk mendapatkan bekalan air minuman, sementara 40 peratus tanah pertanian di daerah timur kekal terbiar kerana kekurangan bekalan air untuk pengairan.

Pada Julai dan Ogos, dua cuti umum diisytiharkan untuk menjimatkan air dan tenaga, dengan pemadaman elektrik berlaku hampir setiap hari ketika gelombang haba mencecah lebih 40 darjah Celsius di Teheran dan melebihi 50 darjah Celsius di beberapa kawasan lain.

“Krisis air lebih serius daripada apa yang dibincangkan hari ini,” menurut amaran Presiden Iran, Masoud Pezeshkian ketika itu.

Kekurangan air kini turut merupakan masalah utama di seluruh Iran, terutamanya di wilayah gersang di selatan negara itu.

Isu pengurusan bekalan

Selain kekurangan taburan hujan, pihak berkuasa tempatan dan nasional mengenal pasti dua lagi faktor utama yang menyumbang kepada krisis tersebut.

Faktor kedua melibatkan infrastruktur yang usang dan pengurusan tidak cekap, termasuk kadar kebocoran sehingga 30 peratus dalam rangkaian bekalan air serta kekurangan inisiatif kitar semula air yang berkesan.

Faktor ketiga ialah penggunaan air yang tinggi, apabila purata penggunaan air di Teheran mencecah 250 liter setiap orang sehari, hampir dua kali ganda standard global iaitu 130 liter.

Penggunaan berlebihan ini amat ketara menjelang sambutan Nowruz, apabila permintaan meningkat sebanyak 20 peratus, melebihi 48,000 liter sesaat.

Pakar pembangunan luar bandar turut menegaskan, perluasan aktiviti pertanian dan penternakan yang banyak menggunakan air di kawasan gersang turut memburukkan keadaan.

Jika keadaan ini berterusan dan amalan semasa tidak diubah, pakar menjangkakan Teheran bakal berdepan krisis air tempoh lima tahun akan datang.

Negara jiran, Iraq, turut mengalami tahun paling kering sejak 1993, apabila paras Sungai Tigris dan Euphrates yang mengalir ke Teluk Parsi dari Asia Barat jatuh sehingga 27 peratus akibat hujan yang rendah.

Kerajaan wilayah Teheran dan penggubal dasar peringkat nasional telah mencadangkan beberapa langkah untuk menangani kecemasan tersebut, termasuk mengalihkan bekalan air dari Empangan Lar dan Empangan Taleqan, membaiki paip bocor, serta memperhebat kempen kesedaran awam.

Bagi jangka panjang, cadangan dikemukakan ialah pemindahan air dari sumber jauh seperti Laut Oman, namun para pakar memberi amaran projek sedemikian hanya mampu menangani kira-kira 10 peratus kekurangan bekalan.

Mereka menegaskan keperluan untuk memodenkan infrastruktur lapuk dan menguatkuasakan undang-undang terhadap aktiviti penggerudian telaga haram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN