HONG KONG: Hong Kong mulakan tempoh berkabung rasmi selama tiga hari pada Sabtu bagi mengenang 128 nyawa yang terkorban dalam satu kebakaran paling dahsyat di bandar itu.
Sesi bertafakur selama tiga minit diadakan di luar ibu pejabat kerajaan pada pukul 8 pagi dengan bendera China dan Hong Kong dikibarkan separuh tiang.
Ribuan penduduk turut menzahirkan kesedihan mereka dengan meletakkan bunga berhampiran sisa hangus Wang Fuk Court, kompleks perumahan yang terbakar lebih 40 jam.
Pusat takziah turut dibuka di seluruh bandar untuk orang awam menandatangani buku ucapan takziah, manakala keluarga mangsa giat menjejaki hospital dan pusat pengecaman mangsa bagi mencari orang tersayang.
Sehingga kini, 200 individu masih hilang dan 89 mayat belum dikenal pasti.
Pihak berkuasa menahan lapan individu termasuk perunding, subkontraktor perancah dan orang tengah projek berhubung kebakaran itu.
Siasatan awal mendapati api bermula pada jaring pelindung di tingkat bawah satu daripada pangsapuri dengan papan buih mudah terbakar dan perancah buluh menyumbang kepada penyebaran api.
Sistem penggera di semua lapan blok didapati rosak, menurut Ketua Perkhidmatan Bomba Andy Yeung.
Seorang saksi berusia 77 tahun berkata, satu bangunan terbakar dan merebak ke dua blok lain dalam kurang 15 minit.
Pihak berkuasa kini menyediakan penginapan sementara untuk kira-kira 800 mangsa, manakala sembilan pusat kecemasan menempatkan sekitar 720 orang semalaman.
Komuniti tempatan bertindak mengatur bantuan bagi mangsa dan anggota bomba dengan menyediakan pakaian, makanan, barangan rumah serta perkhidmatan perubatan dan psikologi.










