NEW YORK: Kemenangan Zohran Mamdani sebagai Datuk Bandar New York yang baharu mencetuskan pertikaian politik apabila beberapa ahli Parti Republikan mendakwa beliau tidak layak memegang jawatan itu dan menuntut siasatan terhadap proses kewarganegaraannya.
Mamdani, 34, yang dilahirkan di Uganda dan berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) ketika berusia tujuh tahun, mencipta sejarah sebagai Datuk Bandar pertama beragama Islam dan berketurunan Asia Selatan.
Beliau menjadi rakyat AS pada 2018 selepas menetap secara sah di negara itu selama dua dekad.
Presiden Donald Trump sebelum ini mengancam akan menarik balik dana persekutuan kepada New York sekiranya Mamdani menang, mendakwa tanpa bukti beliau adalah seorang ‘komunis’ dan menimbulkan persoalan mengenai taraf kewarganegaraannya.
Ahli Kongres Republikan, Andy Ogles, turut menggesa Peguam Negara AS, Pam Bondi, menyiasat sama ada Mamdani menyembunyikan maklumat berkaitan kegiatan ‘komunis atau keganasan’ semasa proses naturalisasi.
“Sekiranya Mamdani berbohong dalam dokumen kewarganegaraan, beliau tidak layak menjadi rakyat AS, apatah lagi Datuk Bandar New York. Bandar besar ini kini di ambang pemerintahan seorang komunis yang menyokong ideologi keganasan,” kata Ogles.
Tuduhan itu turut disokong Ahli Kongres Florida, Randy Fine, yang mendakwa Mamdani baru berpindah ke AS lapan tahun lalu.
Semakan oleh badan pemeriksa fakta PolitiFact mendapati tiada sebarang bukti Mamdani menipu dalam permohonan kewarganegaraannya. Pakar undang-undang imigresen menegaskan, penarikan kewarganegaraan hanya boleh dilakukan melalui keputusan mahkamah dan memerlukan bukti kukuh pemohon menipu dalam proses tersebut.
Ogles dan Fine juga menuduh Mamdani tidak mendedahkan keahliannya dalam kumpulan Democratic Socialists of America (DSA) yang mereka dakwa berhaluan komunis. Pakar sejarah politik AS menegaskan DSA bukan parti komunis, sebaliknya gerakan demokratik yang menolak ideologi negara berasaskan pemilikan penuh oleh kerajaan.
Kelab Republikan Muda New York cuba menggunakan Pindaan Ke-14 Perlembagaan AS bagi menghalang Mamdani daripada mengangkat sumpah, dengan menuduh beliau memberi sokongan kepada musuh negara kerana menyokong kumpulan pro-Palestin.
Namun, pakar undang-undang menegaskan tindakan itu tidak mempunyai asas kukuh kerana klausa tersebut hanya terpakai terhadap mereka yang terlibat dalam pemberontakan bersenjata, bukan kritikan terhadap dasar kerajaan.











