LONDON: Sebuah mahkamah di United Kingdom (UK) memutuskan syarikat perlombongan gergasi dunia, BHP Group bertanggungjawab dalam bencana alam sekitar terburuk di Brazil.
Keputusan itu sekali gus membuka jalan kepada tuntutan sehingga AS$48 bilion (RM198 bilion) oleh mangsa yang terjejas akibat kemusnahan alam sekitar.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Finola O’Farrell yang menegaskan BHP bersalah walaupun syarikat itu tidak lagi memiliki empangan berkaitan ketika bencana berlaku.
Tragedi yang berlaku pada 2015 itu menyaksikan empangan takungan syarikat Samarco yang separuh dimiliki BHP pecah dan melepaskan jumlah sisa toksik bersamaan 13,000 kolam renang Olimpik ke dalam Sungai Doce.
Insiden itu mengorbankan 19 nyawa, memusnahkan perkampungan Bento Rodrigues dan menjejaskan ribuan penduduk di sekitar negeri Minas Gerais.
Kajian Universiti Ulster di UK mendapati bencana berkenaan turut membunuh 14 tan ikan air tawar serta mencemarkan lebih 600 kilometer sungai yang dianggap suci oleh masyarakat Orang Asli Krenak. Sehingga kini, sungai itu masih belum pulih daripada kemusnahan besar tersebut.
O’Farrell menegaskan tindakan meneruskan kerja menaikkan empangan walaupun keadaan tidak selamat merupakan punca langsung keruntuhan, menjadikan BHP bertanggungjawab mengikut undang-undang Brazil. Namun, BHP memaklumkan akan memfailkan rayuan dan menegaskan ramai plaintif sudah menerima pampasan di Brazil.
Kes tersebut dibawa ke mahkamah UK kerana satu daripada entiti undang-undang utama BHP berdaftar di London ketika tragedi berlaku.
Perbicaraan berprofil tinggi itu bermula pada Oktober 2024, hanya beberapa hari sebelum kerajaan persekutuan Brazil memuktamadkan penyelesaian bernilai AS$23 bilion (RM95 bilion) dengan syarikat-syarikat perlombongan terlibat.
Di bawah perjanjian itu, Samarco dan syarikat rakan kongsinya, Vale, bersetuju membayar pampasan bagi kerosakan manusia, infrastruktur dan alam sekitar dalam tempoh 20 tahun.
BHP sebelum ini berpendapat tindakan undang-undang di UK adalah tidak perlu kerana isu berkenaan sudah pun dibicarakan di Brazil.










