Bangladesh desak India ekstradisi Sheikh Hasina - Utusan Malaysia

Bangladesh desak India ekstradisi Sheikh Hasina

SHEIKH HASINA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Bangladesh mendesak India agar mengekstradisi bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina, yang dijatuhkan hukuman mati in absentia baru-baru ini atas dakwaan berhubung tindakan keras terhadap kebangkitan pelajar tahun lalu.

Menteri Hal Ehwal Luar dalam pentadbiran sementara Bangladesh, Touhid Hossain, pada Ahad memaklumkan Dhaka telah menghantar surat dua hari lalu mendesak New Delhi supaya menyerahkan bekas pemimpin berusia 78 tahun itu.

Hasina kini dilaporkan bersembunyi di India, sekutu rapatnya ketika beliau memimpin Bangladesh selama 15 tahun sebelum pemerintahannya digulingkan melalui kebangkitan rakyat pada Ogos 2024, yang meragut lebih 1,400 nyawa menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada Isnin, Tribunal Jenayah Antarabangsa Khas (ICT) di Dhaka mensabitkan Hasina atas kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan dan menjatuhkan hukuman mati, sekali gus memenuhi janji utama kerajaan sementara yang diketuai penerima Anugerah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus.

Susulan keputusan mahkamah itu, Kementerian Luar Bangladesh menegaskan India mempunyai tanggungjawab wajib di bawah perjanjian ekstradisi dua hala yang ditandatangani pada 2013 untuk memudahkan pemulangan Hasina.

Kementerian tersebut turut menyifatkan tindakan India menempatkan Hasina sebagai tindakan tidak bersahabat yang serius, serta menyeru agar tidak berlaku pengkhianatan terhadap keadilan dengan memberikan suaka kepada individu yang telah disabitkan atas jenayah terhadap kemanusiaan.

Sementara itu, Kementerian Luar India dalam maklum balas ringkas berkata mereka telah mengambil maklum keputusan terhadap Hasina, namun setakat ini tidak mengulas mengenai kemungkinan proses ekstradisi tersebut.

Akhbar Bangladesh, Prothom Alo, melaporkan Dhaka telah membuat sekurang-kurangnya tiga permohonan ekstradisi sebelum ini.

Sokongan India terhadap Hasina sebelum ini turut menegangkan hubungan dua negara Asia Selatan itu sejak penggulingannya.

Bangladesh dijangka mengadakan pilihan raya umum pertama sejak siri protes besar-besaran itu pada Februari tahun depan bagaimanapun parti Hasina, Liga Awami, bagaimanapun kekal diharamkan daripada menjalankan sebarang aktiviti politik. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN