Afghanistan perlukan AS$129 juta pulih wilayah dilanda gempa bumi - Utusan Malaysia

Afghanistan perlukan AS$129 juta pulih wilayah dilanda gempa bumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Afghanistan memerlukan dana sejumlah AS$128.8 juta (RM536 juta) untuk memulihkan semula perumahan, sekolah dan perkhidmatan utama di wilayah timur yang terjejas teruk akibat gempa bumi, menurut satu penilaian yang diketuai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Penilaian Keperluan Pemulihan Pantas Bersama (JRRNA), yang dijalankan dengan kerjasama Bank Dunia, Kesatuan Eropah (EU) dan Bank Pembangunan Asia (ADB), menggariskan pelan tiga tahun untuk membina semula rumah, kemudahan kesihatan, sistem air dan tanah pertanian di wilayah Kunar, Nangarhar dan Laghman.

Laporan ini dikeluarkan ketika bantuan kepada Afghanistan semakin berkurangan di mana PBB menganggarkan keperluan dana sebanyak AS$3.2 bilion (RM13 bilion) pada tahun ini dan jumlah yang sama diperlukan pada 2026.

Menurut Wakil Residen PBB, Stephen Rodriguez, komuniti yang dilanda gempa sudah sedia tertekan akibat kemarau, penghantaran pulang beramai-ramai pelarian, dan penguncupan ekonomi yang ketara.

“Terdapat kapasiti yang sangat terhad untuk menangani kejutan lain,” ujar Rodriguez.

JRRNA melaporkan, gempa bumi telah menyebabkan kerosakan bernilai AS$86.6 juta (RM360 juta) merentasi 10 daerah, menjejaskan 56,000 keluarga dimana lebih 6,200 rumah dilaporkan runtuh, 2,000 rosak teruk, manakala 22 kemudahan kesihatan dan 80 sekolah turut musnah.

Sektor Perumahan menjadi cabaran terbesar, yang memerlukan AS$54.9 juta (RM228 juta) untuk membina semula ribuan rumah manakala pendidikan pula memerlukan sebanyak AS$14.9 juta (RM62 juta), di samping peruntukan tambahan untuk air, pengairan, tanah pertanian dan jalan luar bandar.

Agensi-agensi PBB telah menyediakan khemah kecemasan dan wang tunai kepada ribuan keluarga, namun hampir 10,000 isi rumah masih memerlukan sokongan tempat perlindungan segera, dan 7,700 orang masih lagi kehilangan tempat tinggal.

Tambah Rodriguez, bantuan kecemasan itu hanya meringankan tekanan serta-merta tetapi masih jauh dari mencukupi untuk mengeluarkan keluarga daripada mod kelangsungan hidup tanpa pelaburan jangka panjang.

Afghanistan menampung salah satu jumlah pemulangan pelarian secara paksa terbesar di dunia di mana seramai 4.3 hingga 4.5 juta rakyat Afghanistan telah pulang sejak 2021.

Data agensi pelarian PBB menunjukkan sebanyak 2.5 juta lagi di Iran dan 1.7 juta di Pakistan boleh kembali jika dasar semasa diteruskan.

Dengan 400,000 belia Afghanistan memasuki pasaran buruh setiap tahun, Rodriguez memberi amaran kelewatan dalam pembinaan semula berisiko mencetuskan ketegangan sosial dan penghijrahan keluar. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN