Wanita lebih berisiko alami kemurungan akibat faktor genetik - Utusan Malaysia

Wanita lebih berisiko alami kemurungan akibat faktor genetik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Wanita didapati mempunyai risiko genetik yang lebih tinggi untuk mengalami kemurungan klinikal berbanding lelaki, menurut satu kajian baharu oleh penyelidik Australia yang berpotensi mengubah pendekatan rawatan terhadap gangguan kesihatan mental itu.

Kajian yang disifatkan sebagai antara yang terbesar seumpamanya, melibatkan analisis DNA hampir 200,000 individu yang mengalami kemurungan bagi mengenal pasti penanda genetik yang dikongsi bersama.

Menurut kajian yang diketuai oleh Institut Penyelidikan Perubatan Berghofer Australia, wanita didapati mempunyai hampir dua kali ganda penanda genetik yang dikaitkan dengan kemurungan berbanding lelaki.

“Komponen genetik bagi kemurungan ternyata lebih besar dalam kalangan wanita berbanding lelaki,” kata penyelidik, Jodi Thomas.

“Dengan meneliti faktor genetik yang dikongsi dan unik antara lelaki dan wanita, kita dapat gambaran lebih jelas tentang punca kemurungan dan ini membuka jalan ke arah rawatan yang lebih diperibadikan,” tambahnya.

Para penyelidik mengenal pasti kira-kira 13,000 penanda genetik berkaitan kemurungan dalam kalangan wanita, berbanding 7,000 penanda dalam kalangan lelaki. Sebahagian perubahan genetik ini dikaitkan dengan gangguan metabolisme dan penghasilan hormon.

“Kami dapati beberapa perbezaan genetik yang mungkin menjelaskan mengapa wanita dengan kemurungan sering mengalami gejala metabolik, seperti perubahan berat badan atau tahap tenaga,” kata Thomas.

Penyelidik lain, Brittany Mitchell, berkata penemuan ini boleh membawa kepada perubahan dalam pendekatan rawatan kemurungan khusus untuk wanita.

“Selama ini, penyelidikan yang konsisten tentang bagaimana kemurungan menjejaskan lelaki dan wanita secara berbeza, termasuk peranan genetik sangat terhad,” katanya.

Beliau turut mengkritik kecenderungan kajian terdahulu yang banyak memfokuskan kepada lelaki sebagai peserta kajian, termasuk dalam pembangunan ubat-ubatan.

Kemurungan klinikal, atau gangguan kemurungan major, merupakan salah satu gangguan mental paling umum di dunia, dengan lebih 300 juta individu mengalaminya secara global, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kajian ini diterbitkan dalam jurnal berprestij Nature Communications.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×