Tahanan Palestin maut di penjara Israel akibat dinafikan akses perubatan - Utusan Malaysia

Tahanan Palestin maut di penjara Israel akibat dinafikan akses perubatan

Ahmad Khdeirat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Seorang tahanan Palestin berusia 22 tahun, Ahmad Khdeirat meninggal dunia pada Selasa di sebuah hospital Israel, menurut Jawatankuasa Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin serta Persatuan Tahanan Palestin.

Khdeirat ditahan sejak 23 Mei 2024 dan menjadi tahanan Palestin ke-78 yang meninggal dunia dalam tahanan Israel sejak 7 Oktober 2023.

Menurut Persatuan Tahanan Palestin, pihak berkuasa penjara Israel didakwa melakukan kecuaian perubatan secara sengaja terhadap Khdeirat.

Dia menghidap diabetes sebelum ditahan dan dilaporkan dijangkiti penyakit kulit scabies ketika ditahan di Penjara Negev, yang terkenal dengan layanan buruk terhadap banduan Palestin.

Kesihatannya dilaporkan merosot dengan teruk sepanjang dalam tahanan, termasuk mengalami penurunan paras gula dalam darah, menderita kelaparan, serta kehilangan berat badan sebanyak 40 kilogram.

Khdeirat ditahan di bawah sistem penahanan pentadbiran, yang membolehkan pihak berkuasa Israel menahan individu tanpa sebarang tuduhan atau perbicaraan, untuk tempoh enam bulan yang boleh dilanjutkan tanpa had.

Dia berasal dari bandar Adh-Dhahiriya, terletak kira-kira 22 kilometer di barat daya Hebron, di kawasan selatan Tebing Barat.

Menurut kumpulan hak asasi Palestin, Addameer, ketika ini terdapat 3,544 tahanan Palestin yang ditahan secara pentadbiran, daripada keseluruhan 11,100 tahanan politik Palestin di penjara dan pusat tahanan Israel. Jumlah itu termasuk 400 kanak-kanak dan 53 wanita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×