GAZA: Ribuan penduduk Gaza yang dipindahkan akibat serangan berterusan rejim Zionis kini berdepan ancaman baharu iaitu gelombang laut dan cuaca buruk.
Di sepanjang pantai selatan Gaza, mereka terpaksa membina halangan pasir (sand barriers) dengan tangan bagi melindungi khemah yang kian rapuh daripada dihanyutkan air.
Kawasan seperti Al-Mawasi, Deir al-Balah dan Khan Younis menjadi lokasi utama khemah-khemah ini didirikan.
Tanpa perlindungan kukuh, khemah-khemah yang dibina hanya beberapa meter dari garis pantai kini berdepan risiko arus laut dan ribut terutama menjelang musim sejuk.
Sejak beberapa minggu lalu, puluhan khemah musnah atau rosak teruk akibat hujan lebat dan hempasan ombak.
Menurut laporan media tempatan, lebih 10,000 khemah rosak di kawasan Al-Mawasi, manakala 81 peratus khemah di seluruh Gaza tidak lagi sesuai digunakan.
Tanpa plastik pelindung, struktur kayu yang kukuh atau rumah mudah alih, ramai terpaksa tidur dalam keadaan basah, sejuk dan tidak selesa.
“Kami bina dinding pasir ini sendiri, harapnya dapat tahan air laut. Tapi setiap kali ribut datang, kami perlu ulang semula,” kata seorang penduduk.
Pasukan sukarelawan dan keluarga bergilir-gilir membina dan membaiki halangan pasir yang musnah. Namun, usaha mereka sering sia-sia apabila ombak besar kembali menghentam, menghanyutkan pasir dan sekali lagi membanjiri khemah mereka.
Situasi menjadi lebih parah apabila bekalan bantuan seperti khemah baharu, plastik pelindung dan rumah mudah alih disekat atau tidak dibenarkan masuk ke Gaza.
Penduduk yang terjejas turut menghadapi risiko kesihatan apabila air bercampur najis dan sisa mula memasuki kawasan khemah.
Penyakit berkaitan cuaca sejuk, seperti radang paru-paru dan cirit-birit, semakin meningkat terutama dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas.










