SINGAPURA: Seorang lagi rakyat Malaysia, P Pannir Selvam, 38, dihukum mati di Singapura hari ini selepas didapati bersalah menyeludup 51.84 gram diamorfin ke negara itu pada tahun 2014.
Pannir merupakan rakyat Malaysia kedua dihukum mati bagi kesalahan dadah di republik berkenaan dalam tempoh dua minggu, selepas K Datchinamurthy, 39, menjalani hukuman pada 25 September lalu.
Menurut rekod mahkamah, Pannir disabitkan oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 27 Jun 2017 bagi kesalahan mengedar dadah di pintu masuk Woodlands pada 3 September 2014, dan dikenakan hukuman mati mandatori di bawah undang-undang dadah negara tersebut.
Usaha rayuan terakhirnya menemui jalan buntu apabila Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuannya pada 9 Februari 2018, manakala petisyen pengampunan yang dikemukakan kepada Presiden Singapura turut ditolak.
Pada 6 September lalu, cubaan Pannir untuk menangguhkan hukuman mati bagi menunggu keputusan prosiding tatatertib terhadap bekas peguamnya juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan. Prosiding itu difailkan melalui Persatuan Undang-undang Singapura.
Selain Pannir dan Datchinamurthy, dua lagi rakyat Malaysia iaitu S Saminathan dan R Lingkesvaran turut dilaporkan berada dalam senarai banduan akhir di Singapura selepas disabitkan bagi kesalahan berkaitan dadah.










