Elon Musk jadi individu pertama dunia rekod kekayaan AS$500b

Elon Musk jadi individu pertama dunia rekod kekayaan AS$500b

ELON MUSK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk muncul sebagai individu pertama di dunia yang mencapai nilai kekayaan peribadi mencecah AS$500 bilion (RM2.1 trilion), sekali gus meletakkannya separuh jalan menuju status trilionair.

Menurut senarai bilionair Forbes, nilai kekayaan Musk sempat melonjak melepasi paras AS$500 bilion pada Rabu sebelum kembali turun kepada AS$499 bilion.

Musk, 54, memiliki sebanyak 12 peratus pegangan dalam Tesla yang kini bernilai lebih AS$1.5 trilion (RM6.3 trilion).

Nilai kekayaannya pada tahun ini melonjak hasil prestasi saham Tesla yang meningkat berikutan kejayaan syarikat itu melepasi unjuran pasaran bagi jumlah penghantaran kenderaan suku tahun.

Tesla melaporkan sebanyak 497,099 unit kenderaan dihantar bagi tempoh Julai hingga September, sebahagiannya didorong oleh insentif cukai pembelian kenderaan elektrik di Amerika Syarikat (AS) sebelum ia tamat tempoh.

Selain Tesla, Musk turut memiliki kepentingan besar dalam syarikat penerokaan angkasa, SpaceX, yang dilaporkan menunggu penilaian terbaharu sekitar AS$400 bilion (RM1.7 trilion).

Beliau memiliki 42 peratus pegangan dalam SpaceX dimana syarikat kecerdasan buatan miliknya, xAI pula bernilai AS$75 bilion (RM316 bilion) pada Julai lalu.

Awal tahun ini, saham Tesla pernah merudum akibat saingan sengit daripada syarikat automotif China, penurunan jualan serta kebimbangan terhadap fokus Musk yang dikatakan terganggu dengan pelbagai perniagaan lain serta hubungan rapatnya dengan Presiden AS, Donald Trump.

Sokongan terbuka beliau terhadap Trump dan pandangan politik sayap kanan di platform X juga menjejaskan jualan Tesla namun, prestasi saham syarikat tersebut kembali meningkat apabila Musk menumpukan perhatian penuh dan kini meningkat sebanyak 13 peratus sejak awal
tahun ini.

Musk mendedahkan beliau membeli saham Tesla bernilai hampir AS$1 bilion (RM4.2 bilion) sebagai tanda keyakinan terhadap masa depan
syarikat itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×