Banjir kilat, tanah runtuh ragut 47 nyawa di Nepal

Banjir kilat, tanah runtuh ragut 63 nyawa di Nepal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATHMANDU: Hujan lebat berterusan sejak Jumaat mencetuskan tanah runtuh dan banjir kilat di Nepal, menyebabkan sekurang-kurangnya 63 orang terkorban, selain menenggelamkan jambatan dan memutuskan banyak laluan jalan raya, kata pegawai pada Ahad.

Menurut jurucakap Pasukan Polis Bersenjata Nepal, Kalidas Dhauboji, seramai 37 orang maut dalam beberapa kejadian tanah runtuh di daerah Ilam di timur negara itu, berhampiran sempadan India.

Beliau berkata, sembilan orang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus banjir, manakala tiga lagi maut akibat disambar petir di lokasi berasingan di Nepal.

“Usaha mencari dan menyelamat mangsa hilang masih dijalankan,” kata jurucakap Pihak Berkuasa Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Nepal, Shanti Mahat.

Di seberang sempadan, di kawasan bukit Darjeeling di negeri West Bengal, sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh akibat tanah runtuh selepas hujan lebat, lapor media tempatan.

“Tujuh mayat ditemui di bawah timbunan runtuhan. Kami mempunyai maklumat tentang dua lagi mangsa dan sedang berusaha mencari mereka,” kata pegawai polis daerah Darjeeling, Abhishek Roy dipetik agensi berita India ANI di platform X.

Pihak berkuasa berkata, beberapa lebuh raya utama terputus dan ditenggelami air, menyebabkan ratusan penumpang terkandas.

Jurucakap Lapangan Terbang Kathmandu, Rinji Sherpa memaklumkan, puluhan penerbangan domestik terganggu, namun penerbangan antarabangsa masih beroperasi seperti biasa.

Di tenggara Nepal, Sungai Koshi yang hampir setiap tahun menyebabkan banjir maut di negeri Bihar, India dilaporkan mengalir melebihi paras bahaya.

Gabenor daerah Sunsari, Dharmendra Kumar Mishra berkata, semua 56 pintu limpahan Empangan Koshi dibuka sepenuhnya bagi melepaskan air, berbanding hanya 10 hingga 12 dalam keadaan biasa.

Pihak berkuasa turut melarang kenderaan melintasi jambatan berkenaan.

Di Kathmandu yang dikelilingi kawasan berbukit, beberapa sungai turut melimpah dan menenggelamkan jalan serta rumah penduduk, memutuskan ibu negara yang dipenuhi kuil itu daripada wilayah lain melalui jalan darat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×