WASHINGTON: Beberapa hari selepas Israel melancarkan serangan udara ke atas Qatar yang menyasarkan pemimpin Hamas, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengeluarkan kenyataan berhati-hati ketika dua sekutu utama Washington di Asia Barat berdepan perpecahan yang semakin meruncing.
“Qatar adalah sekutu yang sangat baik. Israel dan semua pihak lain, kita perlu berhati-hati. Apabila kita menyerang orang, kita perlu berhati-hati,” kata Trump kepada pemberita.
Trump sebelum ini memaklumkan beliau tidak gembira dan tidak memainkan sebarang peranan dalam serangan Israel ke atas Qatar pada Selasa lalu di Doha, lokasi di mana wakil Israel dan Hamas sedang berunding untuk menamatkan perang di Gaza.
Serangan itu mendorong pemimpin Arab dan Islam termasuk Presiden Palestin, Mahmud Abbas berkumpul di Doha bagi menzahirkan solidarity mereka.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani menggesa dunia berhenti mengamalkan dwi standard dan mendesak Israel dipertanggungjawabkan.
Serangan Israel ke atas ibu negara Teluk itu mengorbankan lima anggota Hamas serta seorang pegawai keselamatan Qatar.
Qatar menempatkan pangkalan tentera AS terbesar di rantau tersebut.-AFP










