WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengarahkan 10 jet pejuang halimunan F-35 ke Puerto Rico ketika pentadbirannya mempertimbangkan tindakan ketenteraan terhadap kartel dadah di Venezuela.
Beberapa sumber memberitahu agensi berita pada Jumaat, pesawat-pesawat pejuang canggih itu akan dikerahkan ke sebuah pangkalan udara di Puerto Rico sebagai sebahagian daripada operasi membanteras kartel dadah Amerika Latin yang digelar sebagai organisasi ‘narko-pengganas’ oleh Washington.
CNN melaporkan pentadbiran Trump kini menilai pilihan untuk melancarkan serangan terhadap kumpulan penyeludupan dadah yang beroperasi di dalam wilayah Venezuela, satu langkah yang bakal memperhebat ketegangan yang sedia tegang antara Washington dan Caracas.
Presiden Venezuela, Nicolas Maduro menyeru AS supaya menghentikan ‘rancangan perubahan rejim secara ganas’ bukan sahaja di Venezuela, malah di seluruh Amerika Latin.
“AS perlu menghormati kedaulatan, hak untuk berdamai, dan kemerdekaan negara lain. Saya menghormati Trump. Perbezaan antara kami tidak seharusnya membawa kepada konflik ketenteraan,” katanya.
Beliau turut menyatakan Venezuela sentiasa terbuka untuk berdialog, sambil memaklumkan tentera negaranya yang berjumlah lebih 340,000 anggota sudah siap siaga dalam beberapa minggu terakhir susulan ancaman dari AS.
Maduro turut mendakwa bahawa lebih lapan juta anggota rizab dan militia bersiap sedia jika negara itu diserang.
Trump bagaimanapun menafikan AS merancang untuk menukar rejim Maduro secara langsung.










