Tiga anggota polis terkorban, dua parah ditembak ketika operasi siasatan

Tiga anggota polis terkorban, dua parah ditembak ketika operasi siasatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENNSYLVANIA: Tiga anggota polis maut manakala dua lagi cedera parah selepas terlibat dalam insiden tembakan ketika menjalankan siasatan berkaitan kes domestik di daerah York, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) semalam.

Pesuruhjaya Polis Negeri Pennsylvania, Kolonel Christopher Paris memaklumkan suspek yang melepaskan tembakan turut maut selepas berbalas tembak dengan pihak berkuasa.

Insiden berlaku sekitar pukul 2 petang (waktu tempatan) di kawasan luar bandar North Codorus Township, kira-kira 160 kilometer dari timur Philadelphia.

Gambar dari lokasi kejadian menunjukkan seorang anggota polis diterbangkan dengan helikopter perubatan bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Akibat insiden itu, sebuah daerah sekolah berhampiran di Spring Grove, sebuah pekan kecil berpopulasi 2,500 orang diarahkan untuk berlindung sementara waktu namun pihak sekolah kemudian mengesahkan tiada pelajar terjejas.

Pihak berkuasa menegaskan keadaan kini terkawal dan tiada ancaman aktif terhadap orang awam.

Difahamkan, pasukan polis berada di lokasi sejak sehari sebelumnya untuk menjalankan siasatan.

Gabenor Pennsylvania, Josh Shapiro bergegas ke lokasi kejadian dan bertemu dengan keluarga mangsa yang terkorban.

“Kami berdukacita atas kehilangan tiga insan yang berkhidmat untuk daerah ini, negeri ini dan juga negara. Keganasan seperti ini tidak boleh diterima, masyarakat perlu berubah ke arah yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut mengarahkan semua bendera negeri dikibarkan separuh tiang di bangunan awam seluruh Pennsylvania sebagai tanda penghormatan.

Sementara itu, Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Kash Patel memaklumkan pihaknya telah menghantar pegawai bagi membantu siasatan bersama polis negeri dan tempatan.

“Doa kami bersama anggota yang terkorban, keluarga mereka serta seluruh komuniti York County,” katanya dalam satu kenyataan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN