Tentera Israel usir penduduk di selatan Syria

Tentera Israel usir penduduk di selatan Syria

TENTERA Israel melakukan rondaan di pagar sempadan dengan Syria berdekatan perkampungan Druze di Majdal Shams di Dataran Tinggi Golan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Human Rights Watch (HRW) mendakwa tentera Israel melakukan pengusiran paksa terhadap penduduk di selatan Syria, kawasan yang dituntut rejim itu untuk dijadikan zon bebas tentera dalam perjanjian keselamatan baharu yang sedang dirundingkan Damsyik.

Laporan itu muncul ketika media kerajaan Syria melaporkan, tentera rejim menahan beberapa orang di selatan, sehari selepas Damsyik mengumumkan sedang bekerjasama dengan Washington untuk mencapai persefahaman keselamatan dengan Israel.

“Sejak Disember 2024, tentera Israel yang menduduki sebahagian wilayah selatan Syria melakukan pelbagai pencabulan terhadap penduduk, termasuk pengusiran paksa, yang merupakan jenayah perang,” kata HRW dalam kenyataan.

Namun tentera Israel mendakwa pihaknya beroperasi di selatan Syria untuk melindungi penduduk mereka dan semua tindakannya adalah selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Selepas pasukan pemberontak menggulingkan pemerintah lama, Bashar al-Assad pada 8 Disember, Israel menghantar tenteranya ke zon penampan di bawah kawalan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) di Bukit Golan yang memisahkan tentera kedua-dua kumpulan.

Israel juga melancarkan ratusan serangan udara ke atas sasaran di Syria serta melakukan pencerobohan lebih jauh ke selatan meskipun rundingan dengan pihak berkuasa interim sedang berlangsung.

HRW berkata, tentera rejim bertindak merampas dan merobohkan rumah, menghalang penduduk daripada mengakses tanah dan sumber rezeki mereka, serta menahan penduduk secara sewenang-wenangnya sebelum memindahkan mereka ke Israel.

Badan hak asasi berpangkalan di New York itu berkata, pihaknya menemu bual penduduk, menyemak rakaman serta menganalisis imejan satelit bagi mengesahkan laporan tersebut.

Awal pagi Rabu, televisyen kerajaan Syria melaporkan tentera Israel menahan empat lelaki dari kampung-kampung di dalam dan sekitar zon penampan di wilayah Quneitra, selatan Syria, semasa operasi serbuan dan pemeriksaan yang menyasarkan beberapa rumah.

Namun, tentera Israel memberitahu media, anggotanya menahan beberapa individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengganas menyasarkan pasukan mereka di pelbagai kawasan Syria.

“Suspek telah dipindahkan untuk siasatan lanjut di wilayah Israel,” kata seorang jurucakap.

Awal bulan ini, media kerajaan berkata, tentera Israel menahan tujuh orang di kawasan sama, dengan pihak tentera menyatakan mereka adalah individu disyaki terbabit dalam aktiviti pengganas sebelum dibawa ke Israel untuk siasatan lanjut.

Pada Selasa, Syria mengumumkan pelan jalan damai yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan Jordan bagi memulihkan kestabilan di selatan selepas keganasan sektarian berdarah di wilayah minoriti Druze di Sweida mencetuskan campur tangan tentera Israel pada Julai lalu.

Seorang pegawai tentera Syria memberitahu senjata berat sudah dibawa keluar dari kawasan selatan dalam proses yang bermula selepas insiden keganasan di Sweida-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×