Russia nafi ceroboh ruang udara NATO, tuduh Estonia cetus ketegangan - Utusan Malaysia

Russia nafi ceroboh ruang udara NATO, tuduh Estonia cetus ketegangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia menafikan dakwaan pesawat tenteranya menceroboh ruang udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan memberi amaran tuduhan sedemikian hanya akan meningkatkan ketegangan serantau.

Estonia sebelum ini mendakwa tiga jet pejuang MiG-31 milik Russia memasuki ruang udaranya selama 12 minit pada Jumaat lalu sebelum diiring keluar oleh pesawat NATO.

Menurut Tallinn, pesawat berkenaan terbang di atas Teluk Finland dengan sistem transponder dimatikan serta enggan berhubung dengan kawalan trafik udara negara itu.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov semalam menolak dakwaan itu dan menegaskan tentera Rusia beroperasi secara tegas mengikut undang-undang antarabangsa, termasuk peraturan penerbangan.

“Dakwaan Estonia ini tidak berasas, kosong dan hanyalah kesinambungan kepada dasar negara itu yang tanpa henti berusaha mencetuskan ketegangan serta mewujudkan suasana konfrontasi,” katanya kepada wartawan.

Ekoran insiden tersebut, para duta NATO dijadual mengadakan mesyuarat tergempar hari ini selepas Estonia meminta rundingan segera di bawah Artikel Empat perjanjian penubuhan pakatan itu.

Awal bulan ini, Poland turut mengaktifkan Artikel Empat selepas lebih 20 dron Russia dikesan menceroboh ruang udaranya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×