WASHINGTON: Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menurunkan kadar faedah buat kali pertama tahun ini, dengan memberi amaran berlakunya kelembapan pertumbuhan pekerjaan serta peningkatan risiko terhadap pasaran buruh ketika pentadbiran Presiden, Donald Trump meningkatkan tekanan politik.
Fed mengurangkan kadar pinjaman penanda aras sebanyak 25 mata asas kepada julat 4.0 hingga 4.25 peratus, sambil menjangka dua lagi pemotongan kadar menjelang akhir tahun.
Pengerusi Fed, Jerome Powell menegaskan bank pusat kekal komited untuk bebas daripada pengaruh politik ketika ditanya mengenai pelantikan penasihat utama Trump dalam barisan institusi itu minggu ini.
Keputusan itu disokong 11 anggota Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), dengan hanya gabenor baharu, Stephen Miran yang sebelum ini berkhidmat dalam pentadbiran Trump menentang kerana mahukan pemotongan lebih besar sebanyak 50 mata asas.
Namun, unjuran Fed menunjukkan perbezaan ketara, daripada 19 pegawai, tujuh tidak menjangkakan sebarang pemotongan tambahan, manakala majoriti kecil menjangka dua lagi pemotongan kadar tahun ini.
Powell menegaskan, unjuran ekonomi Fed perlu dilihat sebagai kebarangkalian, memandangkan bank pusat itu cuba mengimbangi risiko inflasi dengan kelemahan pasaran buruh.
“Risiko terhadap pekerjaan meningkat walaupun inflasi kekal agak tinggi dan pertambahan pekerjaan semakin perlahan,” katanya.
Pakar Ekonomi Universiti Cornell, Ryan Chahrour berkata, keputusan itu menunjukkan usaha Fed untuk menyampaikan mesej jelas badan itu tidak dipengaruhi pertimbangan politik, sambil mengelakkan isyarat mengelirukan kepada pasaran.
Pakar Ekonomi, Heather Long pula memberi amaran risiko utama ketika ini adalah lebih ramai rakyat AS kehilangan pekerjaan, sekali gus mencetuskan kemelesetan, walaupun impak tarif terhadap harga pengguna lebih perlahan daripada jangkaan.
Selain isu ekonomi, Fed turut berdepan tekanan politik hebat apabila Trump bukan sahaja kerap mengkritik Powell, malah melantik Miran tanpa melepaskan jawatan beliau di Majlis Penasihat Ekonomi Rumah Putih, menimbulkan keraguan tentang kebebasan Fed.
Dalam masa sama, Trump memecat Gabenor Fed, Lisa Cook pada Ogos, namun keputusan itu kini tertangguh selepas mahkamah rayuan membenarkan beliau kekal sementara menunggu cabaran undang-undang.
Kes ini berpotensi dibawa ke Mahkamah Agung, sekali gus menambahkan kebimbangan tentang campur tangan politik terhadap bank pusat.-AFP











