Ribuan banduan Nepal masih bebas

Ribuan banduan Nepal masih bebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATHMANDU: Tentera Nepal berjaya menangkap semula hampir 1,000 banduan yang melarikan diri dari penjara ketika protes ganas merebak namun jumlah itu hanyalah sebahagian kecil daripada ribuan lagi yang masih bebas.

Menurut polis, sekitar 13,500 tahanan melarikan diri dari penjara di seluruh negara ketika kekacauan berlaku, memaksa pasukan keselamatan bertungkus-lumus untuk memulihkan kawalan.

Protes berkenaan disifatkan terburuk dalam beberapa dekad yang tercetus berhubung larangan penggunaan puluhan laman media sosial minggu lalu.

“Tentera Nepal berjaya menangkap semula 192 banduan. Mereka merupakan banduan yang melarikan diri dari penjara di bandar Rajbiraj di tenggara,” kata tentera dalam satu kenyataan

Di penjara lain di Ramechhap, timur Kathmandu, pertempuran tercetus hingga menyebabkan tentera Nepal melepaskan tembakan, membunuh dua orang dan mencederakan 12 banduan lain.

Sementara itu, pasukan pengawal sempadan India berkata, mereka menahan puluhan banduan yang cuba menyelinap menyeberangi sempadan luas menuju ke negeri jiran Bihar, Uttar Pradesh dan Bengal Barat, sebelum menyerahkan mereka kembali kepada pihak berkuasa Nepal.

“Kami telah menahan dan menyerahkan sekurang-kurangnya 60 banduan yang melarikan diri dari beberapa penjara Nepal,” kata seorang pegawai pengawal sempadan India yang enggan dikenali.

Tentera Nepal turut memaklumkan merampas hampir 100 senjata yang dicuri dalam kebangkitan itu, di mana para penunjuk perasaan dilihat melibas senjata automatik.

Protes yang semakin buruk menyaksikan bangunan Parlimen, pejabat kerajaan, kediaman ahli Parlimen, bangunan komersial serta dua buah hotel mewah dibakar dengan sekurang-kurangnya 51 orang terbunuh.

Keganasan protes turut mencetus beberapa episod dramatik apabila Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Nepal, Bishnu Prasad Paudel dimalukan penunjuk perasaan sehingga pakaiannya ditanggalkan dan dikejar ke sungai.

Dalam satu lagi insiden tragis, Rajyalaxmi Chitrakar, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Jhala Nath Khanal maut selepas perusuh memerangkapnya di dalam rumah sebelum membakar kediaman itu-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×