DUBAI: Gergasi teknologi global Microsoft mengumumkan trafik rangkaian bagi platform pengkomputeran awannya, Azure, mengalami kelewatan di beberapa bahagian Asia Barat berikutan kerosakan kabel gentian dasar laut di Laut Merah.
Microsoft tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai punca kerosakan pada kabel dasar laut itu tetapi memaklumkan gangguan berlaku sejak Sabtu.
“Trafik rangkaian yang tidak melalui Asia Barat tidak terjejas,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Organisasi pemantauan akses internet, NetBlocks memaklumkan, beberapa gangguan pada kabel dasar laut di Laut Merah menjejaskan sambungan internet di beberapa negara, termasuk India dan Pakistan.
Kabel internet dan telekomunikasi global lazimnya mengikuti laluan perkapalan melalui Laut Merah, namun kebimbangan semakin meningkat sejak pemberontak Houthi di Yemen mula menyerang kapal dagang yang melalui kawasan itu pada lewat 2023 sebagai solidariti terhadap Palestin di tengah perang Gaza.
Kerja pemasangan dan pengoperasian kabel dasar laut sebelum ini dikuasai oleh konsortium pengendali telekomunikasi besar, tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat gergasi internet semakin mengambil alih bagi memenuhi lonjakan aliran data global.
Dianggarkan kira-kira 1.4 juta kilometer kabel gentian optik diletakkan di dasar laut, membolehkan penyediaan perkhidmatan penting seperti perdagangan, transaksi kewangan, perkhidmatan awam, kesihatan digital dan pendidikan di seluruh dunia.
Menurut Jawatankuasa Perlindungan Kabel Antarabangsa, purata 150 hingga 200 gangguan berlaku setiap tahun di seluruh dunia, sekitar tiga insiden seminggu.
Kebanyakan kerosakan direkodkan berpunca daripada aktiviti memancing dan penambatan kapal dengan faktor semula jadi lain termasuk penuaan kabel, geseran dan kegagalan peralatan.-AFP










