Pesawat bawa Netanyahu elak ruang udara Eropah kerana waran tangkap ICC - Utusan Malaysia

Pesawat bawa Netanyahu elak ruang udara Eropah kerana waran tangkap ICC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Pesawat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengelak daripada melalui sebahagian besar ruang udara Eropah ketika dalam penerbangan ke Amerika Syarikat (AS) kerana bimbang ditahan berhubung waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berkaitan jenayah perang di Gaza.

Menurut laporan agensi Anadolu yang memetik media tempatan, koresponden diplomatik saluran i24 News, Amichai Stein berkata, pesawat Netanyahu tidak memasuki ruang udara Perancis, sekali gus memanjangkan perjalanan ke AS. Tindakan itu dipercayai dipengaruhi ketegangan antara Tel Aviv dan Paris susulan perang di Gaza.

Beliau turut berkongsi peta yang menunjukkan laluan penerbangan Netanyahu, di mana pesawat tersebut hanya melalui ruang udara Greece dan Itali, manakala negara Eropah lain dielakkan sepenuhnya.

Pada November 2024, ICC yang berpangkalan di The Hague mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Netanyahu berlepas dari Tel Aviv awal Khamis untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-80 di New York, selain dijadual bertemu Presiden AS, Donald Trump, di White House pada Isnin.

Sebelum berlepas di Lapangan Terbang Ben Gurion, Netanyahu berkata beliau akan mengecam pemimpin negara-negara yang mengiktiraf kenegaraan Palestin.

Minggu ini sahaja, beberapa negara Barat termasuk Perancis, United Kingdom, Kanada, Australia dan Belgium mengiktiraf Palestin, menjadikan jumlah keseluruhan 159 daripada 193 negara anggota PBB kini berbuat demikian.

Pertemuan dengan Trump kelak merupakan yang keempat sejak Trump memegang jawatan pada Januari 2025. Netanyahu berkata mereka akan membincangkan peluang besar hasil kemenangan kami serta keperluan untuk melengkapkan objektif perang.

Lawatan Netanyahu berlangsung ketika tentera Israel meneruskan serangan besar-besaran di Gaza yang telah mengorbankan lebih 65,400 rakyat Palestin sejak Oktober 2023, majoritinya wanita dan kanak-kanak. Pengeboman berterusan itu turut menyebabkan Gaza tidak lagi sesuai didiami, di samping mencetuskan kebuluran dan penularan penyakit. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN