Penyiasat PBB lapor Israel lakukan genosid di Gaza

Penyiasat PBB lapor Israel lakukan genosid di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa menuduh Israel melakukan genosid di Gaza dalam usaha untuk memusnahkan rakyat Palestin di wilayah itu, dan menyalahkan perdana menteri Israel serta pegawai kanan lain kerana mengapi-apikan keadaan.

Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB (COI) yang tidak bercakap bagi pihak badan dunia itu dan sering mendapat kritikan keras Israel mendapati, genosid sedang berlaku di Gaza dan masih berterusan.

“Tanggungjawab terletak pada Israel,” kata Pengerusinya, Navi Pillay.

Memuatkan artikel berkaitan…

Suruhanjaya itu, yang ditugaskan menyiasat situasi hak asasi manusia di wilayah Palestin yang diduduki, menerbitkan laporan terbaharunya hampir dua tahun selepas perang meletus di Gaza berikutan serangan maut Hamas pada 7 Oktober 2023 di dalam Israel.

Sejak perang bermula, hampir 65,000 orang terbunuh di Gaza menurut angka Kementerian Kesihatan yang ditadbir Hamas dan dianggap boleh dipercayai oleh PBB.

Sebahagian besar penduduk Gaza dipindahkan sekurang-kurangnya sekali, dengan gelombang perpindahan besar-besaran masih berlaku ketika Israel meningkatkan usaha menguasai Gaza City, di mana PBB mengisytiharkan kebuluran penuh.

COI menyimpulkan sejak Oktober 2023, pihak berkuasa dan tentera Israel telah melakukan empat daripada lima perbuatan genosid yang disenaraikan dalam Konvensyen Genosid 1948 .

Tindakan itu termasuk membunuh ahli kumpulan, menyebabkan kecederaan fizikal atau mental serius, dengan sengaja mengenakan keadaan hidup yang boleh membawa kepada kemusnahan fizikal kumpulan itu secara keseluruhan atau sebahagian, dan melaksanakan langkah-langkah yang bertujuan menghalang kelahiran dalam kumpulan tersebut.

Penyiasat berkata, kenyataan jelas oleh pihak berkuasa awam dan tentera Israel serta corak tindakan tentera menunjukkan perbuatan genosid dilakukan dengan niat untuk memusnahkan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza sebagai sebuah kumpulan.

Laporan itu menyimpulkan Presiden Israel, Isaac Herzog, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant mengapi-apikan berlakunya genosid dan pihak berkuasa Israel gagal mengambil tindakan terhadap mereka bagi menghukum hasutan itu.

“Tanggungjawab jenayah kekejaman ini terletak pada pihak berkuasa Israel di peringkat tertinggi,” kata Pillay, 83, bekas hakim Afrika Selatan yang pernah mengetuai tribunal antarabangsa bagi Rwanda serta berkhidmat sebagai ketua hak asasi manusia PBB.

Walaupun suruhanjaya itu bukan badan perundangan, laporannya berupaya memberi tekanan diplomatik dan mengumpul bukti untuk digunakan kemudian oleh mahkamah.

Pillay memberitahu AFP, suruhanjaya itu bekerjasama dengan pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Kami sudah berkongsi ribuan maklumat dengan mereka. Masyarakat antarabangsa tidak boleh berdiam diri terhadap kempen genosid yang dilancarkan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.

“Ketiadaan tindakan untuk menghentikannya bermakna menjadi bersubahat,” tegas Pillay ketika membentangkan laporan terakhirnya.

Sejak perang bermula, Israel berdepan tuduhan melakukan genosid di Gaza daripada banyak NGO, pakar bebas PBB dan juga di mahkamah antarabangsa.

Pihak berkuasa Israel bagaimanapun menolak keras tuduhan itu.

PBB sendiri belum mengisytiharkan keadaan di Gaza sebagai genosid, meskipun ketua agensi bantuan badan dunia itu pada Mei lalu menggesa pemimpin dunia untuk bertindak tegas mencegah genosid.

Pada Januari tahun lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memerintahkan Israel mencegah berlakunya tindakan “genosid” di Gaza.

Empat bulan kemudian, ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan Gallant atas dakwaan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan.

Berang dengan tindakan itu, pentadbiran Presiden AS, Donald Trump bulan lalu mengenakan sekatan ke atas dua hakim ICC dan dua pendakwa, termasuk melarang mereka memasuki AS serta membekukan aset mereka di negara tersebut.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN