WASHINGTON: Penyakit Chagas, sejenis penyakit berbahaya yang berpunca daripada parasit bawaan serangga dikenali sebagai ‘kissing bug’, kini perlu diisytiharkan sebagai endemik di Amerika Syarikat (AS), kata pakar kesihatan.
Laporan diterbitkan dalam jurnal Emerging Infectious Diseases terbitan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) minggu lalu menyatakan pengisytiharan tersebut penting bagi memastikan usaha pencegahan, pengawasan, penyelidikan dan rawatan penyakit itu dipertingkatkan.
“Kami sudah lama menunggu masyarakat mengiktiraf penyakit ini wujud dalam komuniti kita,” kata penyelidik penyakit Chagas dari Universiti Florida, Dr. Norman Beatty.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategorikan Chagas sebagai penyakit tropika terabai dan Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika pula menyenaraikannya sebagai endemik di 21 negara rantau Amerika, tidak termasuk AS.
Chagas disebarkan menerusi gigitan ‘kissing bug’ ketika mangsa sedang tidur manakala parasit Trypanosoma cruzi berpindah ke tubuh manusia apabila najis serangga itu tanpa sengaja digosok masuk ke mata, hidung atau mulut.
Ia juga boleh merebak melalui makanan tercemar, pemindahan darah, pendermaan organ serta ketika kehamilan.
Antara gejala awal termasuk demam, sakit badan, muntah, keletihan, ruam dan sakit kepala yang boleh berlarutan selama beberapa minggu atau bulan.
Menurut CDC, kira-kira 20 hingga 30 peratus pesakit akan mengalami komplikasi lebih serius seperti masalah jantung, sistem saraf, strok atau kematian.
Jika dikesan awal, penyakit ini boleh dirawat menggunakan ubat benznidazole atau nifurtimox namun, keberkesanannya semakin berkurangan jika pesakit sudah lama dijangkiti.
Kebanyakan pesakit pula tidak menyedari mereka dijangkiti kerana penyakit itu kurang diberi perhatian di AS.
CDC menganggarkan sekitar 280,000 rakyat AS menghidap Chagas, tetapi jumlah sebenar kes serius dan kematian sukar dikenal pasti kerana tiada laporan mandatori di kebanyakan negeri.– AGENSI










