KHARTOUM: Lebih 1,000 nyawa terkorban dalam kejadian tanah runtuh di sebuah perkampungan di kawasan Pergunungan Marra, barat Sudan.
Menurut kenyataan Pergerakan Pembebasan Sudan (SLM/A) yang diketuai Abdelwahid Mohamed Nour, tragedi itu berpunca daripada hujan lebat berterusan selama beberapa hari yang menyebabkan lereng gunung runtuh, menimbus kediaman dan penduduk kampung yang tidak sempat menyelamatkan diri.
“Seluruh perkampungan itu kini lenyap dari peta dengan hanya seorang mangsa berjaya diselamatkan,” menurut kenyataan itu.
Mangsa yang terkorban dipercayai terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak dengan majoritinya adalah pelarian perang daripada konflik berdarah antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) di wilayah Darfur Utara.
Kawasan Pergunungan Marra menjadi lokasi perlindungan terakhir buat mereka meskipun bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan sangat terhad.
SLM/A menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan bantuan kemanusiaan antarabangsa segera campur tangan untuk membantu dalam usaha mencari, mengeluarkan dan mengebumikan mayat-mayat mangsa yang tertimbus.
“Kami tidak mempunyai sumber atau peralatan untuk menghadapi tragedi berskala ini. Dunia tidak boleh terus berdiam diri,” katanya.
Negara itu kini berdepan perang saudara berlarutan lebih dua tahun, menjadikan lebih separuh daripada populasinya berisiko kebuluran, sementara jutaan lagi kehilangan tempat tinggal.
Situasi bertambah kritikal di ibu negeri Darfur Utara, Al-Fashir, yang kini menjadi medan pertempuran antara tentera kerajaan dan RSF. Kawasan itu dilaporkan terus dibedil hebat, menyebabkan lebih ramai penduduk terperangkap dan menjadi mangsa korban.
Dengan infrastruktur lumpuh, sistem kesihatan musnah dan bantuan luar yang sukar masuk ke kawasan bergolak, Sudan kini menghadapi antara krisis kemanusiaan paling serius di dunia – namun perhatian antarabangsa masih dilihat terhad.
Insiden tanah runtuh terbaru ini menjadi simbol tragis bagaimana penderitaan rakyat Sudan terus dibiarkan berlarutan terperangkap antara perang, bencana alam, dan kegagalan campur tangan global.










