GAZA: Lebih 100 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan terbaharu Israel di seluruh Semenanjung Gaza, menurut sumber perubatan yang dipetik agensi Anadolu.
Sumber berkenaan memaklumkan sekurang-kurangnya 86 mayat dibawa ke hospital di Gaza City sahaja, berikutan pengeboman Israel yang semakin hebat.
Di samping itu, sembilan lagi mangsa dilaporkan terkorban dalam serangan udara di kawasan tengah Gaza, manakala enam orang terbunuh di bahagian selatan wilayah tersebut.
Serangan maut ini berlaku ketika tentera Israel melancarkan fasa baharu serangan darat di Gaza City sebagai sebahagian daripada strategi lebih luas untuk menawan keseluruhan bandar berkenaan.
Hampir sejuta rakyat Palestin, kebanyakannya pelarian dari kawasan lain di Gaza kini terperangkap di bandar itu di bawah serangan tanpa henti.
Sejak Oktober 2023, tentera Israel membunuh hampir 65,000 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak.
Pada Selasa, Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki mengesahkan Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Laporan suruhanjaya tersebut menyimpulkan Israel melakukan empat daripada lima perbuatan yang ditakrifkan sebagai genosid dalam Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.
Perbuatan itu termasuk membunuh, menyebabkan kecederaan fizikal atau mental yang serius, dengan sengaja mengenakan keadaan hidup yang dikira membawa kepada pemusnahan rakyat Palestin secara keseluruhan atau sebahagian dan mengenakan langkah yang bertujuan menghalang kelahiran.










