LONDON: Slogan pro-Palestin bergema di Ovo Arena Wembley apabila lebih 12,500 penonton membanjiri dewan konsert terbesar Britain yang dianjurkan khusus untuk mengumpul dana bagi rakyat Gaza.
Konsert amal bertemakan Together for Palestine (T4P) itu, dengan tiket berharga 70 pound (RM399) setiap seorang, merupakan acara kemuncak siri perhimpunan solidariti pro-Palestin di ibu kota Britain sejak konflik meletus hampir dua tahun lalu.
Acara tersebut dianjurkan pemuzik dan aktivis politik terkenal Britain, Brian Eno, bertujuan membantu badan kebajikan yang beroperasi di wilayah Palestin serta menggalakkan tokoh seni tampil bersuara menentang kekejaman.
Antara barisan artis yang turut serta termasuk pelakon, Benedict Cumberbatch dan Florence Pugh; pembikin dokumentari, Louis Theroux yang pernah merakam kisah peneroka Israel di Tebing Barat, selain aktivis hak asasi dan suara daripada Palestin sendiri.
Tambah Eno, setahun lalu tiada dewan konsert sanggup menerima acara yang dikaitkan dengan Palestin namun persepsi masyarakat dunia berubah selepas Israel bertindak menyekat makanan dan bantuan kepada penduduk Gaza.
“Israel menyangka menzalimi seluruh populasi akan diterima masyarakat antarabangsa. Tetapi keadaan itu akhirnya menyedarkan orang ramai,” katanya.
Perhimpunan tersebut berlangsung sehari selepas Suruhanjaya Siasatan Bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan genosid sedang berlaku di Gaza dan menuduh Israel menghalang bantuan kemanusiaan.
Israel bagaimanapun menolak dakwaan itu sebagai palsu dan mengelirukan, dengan alasan tindak balas ketenteraan mereka berpunca daripada serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang meragut 1,219 nyawa, kebanyakannya orang awam.
Sehingga kini, serangan balas Israel ke atas Gaza dilaporkan telah meragut lebih 65,000 nyawa penduduk Palestin, juga majoritinya orang awam, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Hasil kutipan daripada jualan tiket serta sumbangan atas talian akan disalurkan kepada badan amal Britain Choose Love, yang bekerjasama dengan organisasi Palestin dalam menyediakan bantuan kemanusiaan. -AFP










